MELAKA – Sebahagian kawasan Bazar Kraftangan Dataran Pahlawan Megamall di Banda Hilir di sini terpaksa diarah tutup sementara susulan jangkaan berlaku runtuhan siling kali kedua selepas runtuhan pertama malam tadi.
Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur, dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, arahan penutupan itu bagaimanapun tidak melibatkan seluruh 133 tapak gerai bazar di tingkat bawah tanah pusat beli belah berkenaan.
“Dalam kejadian runtuhan siling malam tadi melibatkan empat gerai dan terdapat juga kemungkinan akan berlaku lagi siling runtuh yang mana antara punca dikenalpasti kerana terdapat sedikit kebocoran halus di lantai atas bangunan bazar bawah tanah itu.
“Keseluruhannya bazar ini ada 133 unit kedai dan kita dan jangka terdapat lima atau enam unit kedai lagi akan berisiko berlaku runtuhan siling kerana struktur siling kapur yang kembang akibat terkena air bocor,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Persidangan Keempat (Bajet), Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Melaka Yang Kelima Belas, di Seri Negeri di sini hari ini.
MalaysiaGazette hari ini melaporkan pekerja dan beberapa pelanggan termasuk seorang bayi bazar kraftangan itu nyaris cedera dihempap runtuhan siling di pusat beli belah itu di sini malam tadi.
Dalam kejadian 10.08 malam itu, pekerja dan pelanggan berkenaan termasuk seorang bayi baru beberapa saat meninggalkan kedai ketika runtuhan berlaku.
Ia dipercayai berpunca daripada kebocoran saluran paip pembentungan di kawasan bazar kraftangan di bawah tanah pusat beli belah berkenaanan menempatkan 70 kedai kraftangan.
Mengulas lanjut, Rahmad yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek berkata, semua kos pembaikan kerosakan siling berkenaan akan ditanggung pihak badan pengurusan bersama (JMB).
“Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah membayar RM26,000 sebulan kepada JMB jadi segala kos penyelenggaraan adalah di bawah tanggungan mereka dan saya minta pembaikan ini perlu disegerakan bagi mengelakkan kerugian lebih besar kepada peniaga.
“Setakat ini, Jabatan Kejuruteraan MBMB juga sedang menyiasat anggaran kerugian dan peniaga juga dinasihati agar tidak menggantung barangan jualan mereka di siling yang turut menjadi punca runtuhan,” katanya. – MalaysiaGazette.
















