Dr Zaliha Mustafa

SERDANG – Beberapa perbincangan bersama pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) akan dibuat dalam masa terdekat berhubung dakwaan penyelewengan dana pengurusan Covid-19.

Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, buat masa ini pihaknya belum menerima sebarang perkembangan mengenai perkara itu termasuk nilai sebenar yang terlibat.

“Berkaitan RM600 bilion itu saya masih menunggu pihak KKM untuk diberikan kemaskini. Kita tidak dapat pastikan berapa jumlahnya yang terlibat (penyelewengan).

“Kita akan dapatkan maklumat itu selepas mesyuarat taklimat penuh termasuk isu GEG yang akan diadakan dalam sehari dua ini. Saya minta maaf saya tidak dapat jawab hal itu sehinggalah saya dapat taklimat penuh.

“Insya-Allah kita akan selesaikan dalam minggu ini,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Pusat Jantung Hospital Serdang di sini, hari ini.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pegawai Kementerian Kewangan mengesahkan terdapat pelanggaran serius prosedur berhubung dakwaan perbelanjaan hampir RM600 bilion ketika pentadbiran kerajaan diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau sudah menyerahkan perkara itu untuk disiasat jabatan berkaitan bagaimanapun memaklumkan belum ada perbincangan di peringkat Kabinet sama ada Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) akan ditubuhkan bagi menyiasat perkara itu.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah mengesahkan sudah menerima butiran berhubung pecahan dana pakej rangsangan ekonomi yang dibelanjakan kerajaan pada 2020 dan 2021 berhubung pengurusan Covid-19 itu.

SPRM berkata, fokus siasatan kini adalah terarah kepada RM92.5 bilion membabitkan dana kerajaan daripada nilai dakwaan penyelewengan wang perbelanjaan negara yang dianggar hampir RM600 bilion.

Tambah Zaliha lagi, pihaknya juga akan berbincang berkaitan pelaksanaan Kertas Putih Kesihatan dan Dasar Generasi Penamat (GEG) menerusi Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Tembakau dan Merokok dalam masa terdekat. – MalaysiaGazette