Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli mengimbas kad perakam waktu sebelum memulakan tugas di Kementerian Belia dan Sukan, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 12 DISEMBER 2022.

PUTRAJAYA – Industri sukan di Malaysia mempunyi banyak berpotensi untuk berkembang lebih tingg dengan syarat ia tidak lagi dirosakkan oleh gejala korupsi.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, Malaysia cukup bertuah kerana mempunyai atlet dan ahli sukan berkelas dunia.

Oleh itu, beliau berharap agar tiada lagi sektor sukan yang dianaktirikan sebaliknya diberi perhatian dan keutamaan yang sewajarnya selepas ini.

“Ini masalah dalaman. Saya yakin media tahu sangat isu ini. Ia bukan berkaitan prestasi para atlet. Ada (atlet) yang hampir membawa emas untuk negara, ada yang hampir mara ke kejohanan di peringkat antarabangsa.

“Selalunya akan ada masalah dan bila dilihat lebih mendalam, ia akan pergi semula kepada puncanya. Kadangkala, kebanyakan masanya, maaf cakap…ia adalah disebabkan rasuah,” katanya dalam sidang media di lobi Menara KBS di sini pagi ini.

Beliau tiba ke kementerian tepat jam 9.55 pagi sebelum mengimbas kad perakam waktu pada mesin kehadiran sebagai simbolik memulakan tugas rasminya sebagai Timbalan Menteri di KBS hari ini.

Turut menyambut kehadiran Adam Adli ialah Timbalan Ketua Setiausaha Pengurusan, Kementerian Belia dan Sukan, Abdullah Hasan dan Ahli Mesyuarat Pengurusn Tertinggi KBS.

Adam Adli antara 27 individu yang telah mengangkat sumpah sebagai timbalan menteri di Istana Negara pada jam 4 petang Sabtu lalu.

Bagi memastikan semua dasar dan pendekatan yang disusun berjalan lancar, beliau menegaskan segala yang akan dilakukan KBS selepas ini perlu dirujuk kepada gerak kerja yang rapi terlebih dahulu.

“Kita kena kerja bersama, tak boleh buat berseorangan. Saya perlu rujuk pegawai kementerian. Saya kena berhati-hati, kalau tidak anda pun akan hilang keyakinan (kepada menteri dan timbalan menteri).

“Lagipun saya juga tak boleh memberi tempoh masa untuk melaksanakan sesebuah pendekatan atau perubahan yang dirancang kerana kita dalam proses mengenal pasti dan memperbaiki kelemahan dan ketirisan, tapi insya Allah kita akan melaksanakan segala penambahbaikan dengan perancangan penuh teliti nanti,” ujarnya.- MalaysiaGazette