KUALA LUMPUR – Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia meningkat 4.6 peratus pada Oktober 2022, merupakan pertumbuhan dua digit bagi empat bulan berturut-turut.

Pertumbuhan sederhana turut disumbangkan oleh asas indeks yang tinggi direkodkan pada bulan yang sama pada tahun sebelumnya.

Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, pengembangan IPP pada bulan tersebut disumbangkan oleh peningkatan dalam indeks perlombongan (8.6%) dan indeks pembuatan (4.2%) manakala indeks elektrik merekodkan penurunan 1.9 peratus.

Dari segi perbandingan bulan ke bulan, IPP susut 1.0 peratus berbanding pertumbuhan positif 1.3 peratus yang dicatatkan pada bulan sebelumnya.

Pada bulan Oktober 2022, output sektor pembuatan meningkat 4.2 peratus selepas mencatatkan pertumbuhan 10.4 peratus pada bulan September 2022.

Subsektor utama yang menyumbang kepada pertumbuhan adalah produk pralatan elektrik & elektronik (8.7%); produk petroleum, kimia, getah & plastik (3.2%); dan produk mineral bukan logam, logam asas & produk logam yang direka (3.0%).

Prestasi sektor pembuatan pada bulan tersebut didorong oleh kedua-dua industri berorientasikan eksport (5.0%) dan industri berorientasikan domestik (2.5%).

Peningkatan bagi industri berasaskan eksport dipacu terutamanya oleh pembuatan komputer, produk elektronik & optikal; dan pembuatan kok & produk petroleum bertapis.

Dalam pada itu, pertumbuhan bagi industri berorientasikan domestik disokong terutamanya oleh pembuatan produk logam yang direka, kecuali mesin dan
kelengkapan; dan pembuatan produk prosesan makanan.

Bagi perbandingan dengan bulan sebelumnya, sektor pembuatan menyusut 1.9 peratus (September 2022: +1.1%).

Output di sektor perlombongan naik 8.6 peratus pada bulan Oktober 2022 setelah meningkat kukuh sebanyak 15.0 peratus pada September 2022
disumbangkan oleh kenaikan 11.4 peratus dalam indeks gas asli dan 4.8 peratus dalam indeks minyak mentah & kondensat.

Berbanding bulan sebelumnya, indeks perlombongan tumbuh 1.8 peratus (September 2022: +3.8%).

Sementara itu, indeks elektrik menyusut 1.9 peratus pada bulan Oktober 2022 berbanding pertumbuhan positif 4.1 peratus yang direkodkan pada bulan
sebelumnya.

Dari segi perbandingan bulan ke bulan, indeks elektrik pulih kepada 1.5 peratus setelah dua bulan berturut-turut dalam trend penurunan (September 2022: -3.7%; Ogos 2022: -0.2%).

Analisis IPP bagi tempoh Januari hingga Oktober 2022 merekodkan peningkatan 7.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun sebelumnya disokong oleh indeks pembuatan (9.1%), indeks elektrik (5.4%) dan indeks perlombongan (2.3%). – MalaysiaGazette