PUTRAJAYA – Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Chan Foong Hin meminta diberi sedikit ruang dan masa kepada kementerian ini untuk mencari langkah penyelesaian jangka panjang dalam menangani masalah kekurangan telur ayam di pasaran negara ini.
Foong Hin berkata, adalah sukar untuk pihaknya untuk mencari penyelesaian segera atau serta-merta dalam perkara tersebut.
“Dalam isu ini berikan kami sedikit masa dan ruang.. saya yakin dengan kebolehan dan kepakaran dimiliki pasukan di kementerian pertanian untuk menyelesaikan masalah ini dalam jangka masa panjang.
“No such thing immediate solution (tiada penyelesaian segera).. saya harap kami diberi ruang secukupnya dalam isu ini untuk mencari langkah penyelesaian tetap jangka panjang,” katanya selepas hadir mengimbas kad perakam waktu sebagai simbolik memulakan tugas Timbalan Menteri jam 2.05 petang tadi.
Dalam pada itu beliau juga menyifatkan jawatan yang diberikan itu amanat sangat mencabar dan besar yang akan dipikul dengan penuh bertanggungjawab demi kesejahteraan rakyat.
Beliau juga berpendapat kebijaksanaan dan kebolehan menterinya, Mohamad Sabu yang berpandangan luas dalam bidang pertanian diyakini mampu mencari titik penyelesaian dalam soal kemajuan dan keterjaminan makanan di negara ini.
Tambahnya lagi, keterjaminan makanan merupakan satu isu bersifat global dan Malaysia tidak terkecuali perlu mencari kaedah untuk memastikan bekalan makanan mencukupi pada masa akan datang.
“Keterjaminan makanan adalah satu isu global di semua negara dan kita juga menghadapi masalah ini dan ia menjadi asas untuk memajukan negara ke hadapan agar rakyat sentiasa hidup sejahtera.
“Saya rasa pegawai dan kakitangan di kementerian saya cukup baik dan berpengalaman, begitu juga menteri pertanian yang berfikiran luas dan jauh dan yakin isu panas dalam pertanian dapat ditangani dengan segera dan holistik.
“Cuma permintaan saya adalah beri kami ruang yang cukup dan lagipun saya baru clock in, perlukan lebih masa untuk menerima input dan pandangan kakitangan kementerian dalam bidang pertanian ini.
“Dalam pada itu, saya juga melihat Sabah dan Sarawak yang luas dengan tanah dan penuh kehijauan berpotensi untuk memperluaskan serta memajukan sektor pertanian.
“Misi saya adalah nak jadikan Sabah dan Sarawak maju dalam pertanian sebab dua wilayah berkenaan adalah bumi luas dan banyak jenis tanaman pertanian boleh diusahakan di kedua dua negeri itu ke arah keterjaminan makanan,” tegasnya. – MalaysiaGazette