Mohd Shafiq Abdullah

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan awam, Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah yang ditamatkan perkhidmatan semalam dilaporkan mahu mengemukakan saman terhadap terhadap pihak terlibat ke atas penamatan perkhidmatannya.

Mohd Shafiq dikatakan mahu mengambil tindakan itu kerana beranggapan penamatan perkhidmatannya sebagai satu bentuk penganiayaan ke atas dirinya.

Mohd Shafiq juga dilaporkan terkilan dan amat tidak puas hati dengan keputusan diumumkan Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali hari ini.

“Saya akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang terlibat dalam hal ini yang telah menganiayai saya,” kata Shafiq seperti yang dilaporkan FMT.

Media melaporkan, perkhidmatan Mohd Shafiq ditamatkan berkuat kuasa semalam.

Mohd Zuki, berkata penamatan itu selaras dengan peraturan 49(3) Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U. (A) 395/1993].

Beliau berkata, Mohd Shafiq dibersarakan mengikut subseksyen 10(5)(d) Akta Pencen 1980 [AKTA 227] yang membolehkan beliau menikmati semua faedah persaraan yang layak baginya.

Mohd Shafiq, 58, berkhidmat dalam perkhidmatan awam selama 30 tahun dengan jawatan pertama yang disandang sebagai Penolong Setiausaha di Bahagian Istiadat, Jabatan Perdana Menteri pada 1 Disember 1992.

Sebelum ini, tular di media sosial berhubung dakwaan seorang pegawai tinggi kerajaan telah mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai Jabatan Imigresen (Imigresen).

Insiden itu dilaporkan berlaku di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pada 3 Ogos lalu.

Rentetan itu, Mohd Zuki pada 7 Ogos lalu mengumumkan penubuhan satu Jawatankuasa Siasatan, yang dipengerusi Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Ia selepas Kabinet pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang ketika itu Perdana Menteri mengarahkan KSN menubuhkan jawatankuasa bagi menyiasat isu membabitkan Mohd Shafiq yang didakwa mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang pegawai kanan Jabatan Imigresen (Imigresen).-MalaysiaGazette