Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim (tengah) melihat antara kenderaan yang disita dalam 'Ops Ulat' pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto HAZROL ZAINAL, 13 DISEMBER 2022.

SEPANG – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) berjaya menahan 19 individu yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen atau secara haram di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan klia2 menerusi Operasi Ulat (OPS Ulat).

Ketua Pengarahnya, Datuk Zailani Hashim berkata, operasi menerusi JPJ Negeri Selangor itu yang bermula 4 Disember lalu sehingga semalam melibatkan 15 tangkapan yang menggunakan kenderaan persendirian dan empat lagi menggunakan kenderaan perkhidmatan awam.

“‘Ulat’ ini menawarkan perkhidmatan kereta sewa kepada orang awam yang tiba di balai ketibaan KLIA dan klia2 dengan mengenakan caj penghantaran yang tinggi di antara RM80 hingga RM150 ke Kuala Lumpur dan sekitarnya berbanding teksi biasa atau Limo di antara RM65 hingga RM80 sahaja.

“Sehubungan itu, JPJ telah menempatkan seramai 14 orang Pegawai JPJ di Stesen Penguatkuasa (SPK) KLIA termasuk anggota penyamaran bermula 4 Disember lalu sehingga semalam di KLIA dan klia2 bagi membenteras kegiatan ini.

“Untuk rekod, sejak 2015 hingga semalam, sebanyak 630 kes ulat telah direkodkan melibatkan Negeri Selangor dan daripada jumlah itu, 29 individu telah dijatuhkan hukuman penjara bagi tempoh yang sama,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan operasi pemantauan di KLIA di sini hari ini.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim bercakap pada sidang media ‘Ops Ulat’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto HAZROL ZAINAL, 13 DISEMBER 2022.

Zailani menambah, JPJ memandang serius kegiatan yang bersifat pentingkan diri dan
mengaut keuntungan secara haram itu dan akan bertindak tegas bagi membendung kegiatan ‘ulat’ KLIA.

Ujar beliau, pihaknya akan komited membanteras gejala negatif yang boleh merosakkan imej negara dan mendatangkan implikasi kepada ekonomi terutamanya dalam sektor pelancongan dan pengangkutan awam di negara ini.

“Mereka yang didapati bersalah boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (APAD 2010), yang memperuntukkan denda sehingga RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan dan sesiapa yang bersubahat melakukan aktiviti ‘ulat’ juga
boleh didakwa mengikut Seksyen 243(1) akta yang sama.

“JPJ juga komited untuk terus memberikan advokasi kepada pengguna berkaitan kegiatan ulat ini menerusi video hebahan yang telah disediakan dengan kerjasama pengendali lapangan terbang, Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) dan agensi-agensi penerbangan lain bagi membenteras kegiatan ulat ini dari berleluasa,” katanya. – MalaysiaGazette

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Zailani Hashim (kiri) melihat antara kenderaan yang disita dalam ‘Ops Ulat’ pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang. Foto HAZROL ZAINAL, 13 DISEMBER 2022.