Seorang penghantar makanan didakwa di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, Melaka hari ini atas pertuduhan menumbuk muka dan menendang isterinya selepas wanita itu dikatakan menolak untuk menemaninya menyaksikan adiknya taman latihan minggu lalu.

MELAKA – Seorang penghantar makanan didakwa di Mahkamah Majistret, Ayer Keroh, di sini, hari ini atas pertuduhan menumbuk muka dan menendang isterinya selepas wanita itu dikatakan menolak untuk menemaninya menyaksikan adiknya taman latihan minggu lalu.

Tertuduh, Kamal Ariffin Sehat, 40, membuat pengakuan bersalah, namun ditolak Majistret Mazana Sinin kerana fakta pengakuan berbeza dengan pendakwaan pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah mendatangkan kecederaan terhadap isterinya, Fadilah Hussin, 39, dengan menumbuk muka dan menendang bahagian belakang badan mangsa.

Kesalahan itu dilakukan pada pukul 9 malam 8 Disember lalu di sebuah premis di Taman Tanjung Minyak Perdana dalam daerah Melaka Tengah.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan boleh dikenakan denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama.

Difahamkan kejadian itu berlaku selepas tertuduh mengajak isteri bersama lima anak mereka untuk hadir ke majlis tamat latihan adiknya di Port Dickson, Negeri Sembilan namun ditolak membuatkan tertuduh berang dan mencederakannya.

Bagaimanapun tertuduh dalam pengakuannya hanya mengaku menarik rambut dan menampar muka isterinya selepas wanita itu dikatakan telah memanggil ibunya sebagai anjing.

Mahkamah kemudian menolak pengakuan bersalah tertuduh kerana berbeza dengan fakta pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha untuk mengekalkan pertuduhan.

Pendakwaan menawarkan jaminan sebanyak RM10,000 beserta syarat tambahan tertuduh tidak menganggu mangsa dan melapor diri setiap bulan di balai polis berdekatan sehingga kes selesai.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jaminan rendah dengan alasan perlu menanggung lima anak, selain hanya bekerja sebagai penghantar makanan.

Mazana kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM4,500 dan bersetuju dengan syarat tambahan pihak pendakwaan dan menetapkan 26 Januari sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam. – MalaysiaGazette.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast