KUALA LUMPUR – Syarikat Malaysia yang menyertai Aeromart Toulouse 2022 yang diadakan di MEETT Exhibition and Convention Centre, Toulouse, Perancis dari 29 Nov hingga 1 Dis 2022 meraih potensi jualan bernilai RM276 juta.

Menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dalam kenyataan, potensi jualan itu diraih pada mesyuarat perniagaan, melibatkan peserta pameran Malaysia dan pembeli global dari pelbagai negara seperti Perancis, Amerika Syarikat, United Kingdom, Kanada, Sepanyol, Belgium, Itali, India, Indonesia, Romania, Korea Selatan dan Jepun.

Produk yang menarik minat termasuklah nacelle dan komponen sayap komposit, aerostruktur logam, perkakasan untuk mesin komputer berangka pengkomputeran yang menekankan keupayaan dan kepakaran aeroangkasa Malaysia dalam produk sokongan pesawat.

Penyertaan Malaysia dalam acara itu membantu mempromosikan keupayaannya dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan aeroangkasa sejajar dengan permintaan yang meningkat untuk penerbangan komersial dan pengeluaran pesawat.

Pengarah Urusan Persatuan Industri Aeroangkasa Malaysia (MAIA) David Jones berkata, acara itu merupakan peluang untuk mempamerkan kekuatan syarikat aeroangkasa Malaysia dan matlamat mereka untuk meningkatkan kedudukan mereka di peringkat antarabangsa.

Acara itu turut menyediakan platform untuk para peserta mempelajari mengenai inovasi baharu dan bertukar-tukar idea dalam kalangan pelbagai prospek terkemuka dari seluruh dunia.

“Walaupun kami diberi sasaran yang amat sukar untuk dicapai, saya yakin ia boleh dicapai berikutan siri mesyuarat perniagaan telah diatur dengan baik dan disokong oleh keupayaan unik syarikat kami dan ciptaan baharu dalam industri aeroangkasa,” katanya.

Industri penerbangan menyaksikan pemulihan yang pesat apabila perjalanan udara meningkat dengan kebanyakan negara membuka semula sempadan mereka berikutan pandemik COVID-19.

Merujuk data daripada Persatuan Pengangkutan Udara Antarabangsa, jumlah penumpang akan terus meningkat sebanyak 83 peratus pada akhir 2022 berbanding paras sebelum pandemik. Ia akan melepasi rekod 2019 menjelang 2024.

Menurut MAIA, pengeluaran Airbus untuk pesawat kumpulan A320 kini sebanyak 50 unit sebulan dan dijangka meningkat kepada 61 unit pada akhir tahun, yang hanya tinggal beberapa minggu sahaja.

Airbus turut menyemak semula pelannya untuk meningkatkan pengeluaran bulanan kumpulan A320 kepada 65 unit pada musim panas 2023, dengan pengeluaran sebanyak 70 unit pada suku pertama 2024 dan 75 unit pada 2025. – BERNAMA