Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bercakap pada media bersama Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi serta ketua-ketua parti lain selepas Menandatangani Permuafakatan Antara Gabungan Di Bawah Kerajaan Perpaduan di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. Foto PEJABAT PERDANA MENTERI, 16 DISEMBER 2022

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin perjanjian persefahaman (MoU) permuafakatan gabungan di bawah Kerajaan Perpaduan membolehkan kerajaan kukuh sehingga penggal kali ini berakhir.

Anwar berkata, ia dapat dipamerkan apabila semua parti dan gabungan politik yang menandatangani MoU tersebut sudah menyatakan komitmen mereka untuk terus menyokong beliau.

“Jika anda lihat apa yang sudah dirangka, perbincangan yang hebat (intense) untuk memahami, komitmennya adalah untuk menyokong kerajaan yang stabil, harapnya sehingga penggal berakhir,” katanya pada sidang media selepas Majlis Menandatangami Permuafakatan Antara Gabungan di Bawah Kerajaan Perpaduan hari ini.

Lima gabungan antaranya Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) hari ini menandatangani MoU bagi menyokong kerajaan perpaduan.

Sementara itu, Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata MoU itu juga memastikan kerajaan tidak akan menyentuh empat perkara besar – kedudukan agama Islam, kedudukan orang Melayu, hak istimewa orang Melayu serta jawatan Raja-raja Melayu yang menjadi perbalahan Pembangkang.

“Kerajaan yang stabil perlu diwujudkan dan memberi keutamaan kepada keperluan rakyat,” katanya dalam sidang media sama.

Dalam MoU tersebut, gabungan itu bersetuju menjunjung kesetiaan kepada Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara dan memelihara serta mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.

Gabungan PH, BN, GPS, GRS dan Warisan turut mengisytiharkan komitmen mewujudkan masyarakat adil dan negara demokratik yang progresif, inklusif serta bersatu padu berlandaskan acuan Malaysia dan berteraskan prinsip Rukun Negara.

Sistem Raja Berperlembagaan akan terus dipertahankan dan demokrasi berparlimen diperkukuh selain hak serta kuasa rakyat di dukong oleh Kerajaan Perpaduan Malaysia.

Kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan kekal terpelihara tanpa menafikan hak beragama bagi masyarakat bukan Islam seperti termaktub dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan.

Kedaulatan Bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan serta bahasa rasmi negara ini turut terjamin menerusi MoU tersebut.

Selain itu, keluhuran dan kedaulatan undang-undang, kebebasan kehakiman, institusi awam dan keberkesanan serta profesionalisme pasukan keselamatan ditegakkan.

Perjanjian permuafakatan itu turut bermatlamat memperkuat dan mengupayakan pemisahan kuasa di antara cabang- cabang eksekutif, perundangan dan kehakiman Kerajaan Persekutuan.

Langkah tersebut supaya satu sistem pemerintahan yang mempunyai timbang tara yang kuat dapat dipupuk demi mengelakkan pemusatan kuasa dan penyelewengan. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

MoU permuafakatan antara gabungan Kerajaan Perpaduan dimeterai

1 Komen

  1. ini ditaktor slaf baru, PM sudah jadi mr right, tidak boleh bangkang-bangkang. Makin lama makin teruk demokrasi di Malaysis. Kalau anak didik Tun M tu serupa sahajalah duduk parti mana pun. Rasanya ramai YB akan masuk penjara dan mata lebam akibat permainan fitnah.

Comments are closed.