Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bersama Timbalan Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (dua kiri) serta ketua-ketua parti lain bergambar selepas Menandatangani Permuafakatan Antara Gabungan Di Bawah Kerajaan Perpaduan di Pejabat Perdana Menteri, Putrajaya. Foto PEJABAT PERDANA MENTERI, 16 DISEMBER 2022

PUTRAJAYA – Lima gabungan utama iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan Sabah (Warisan) hari ini menandatangani satu perjanjian menyokong Kerajaan Perpaduan di sini hari ini.

Perjanjian (MoU) yang dinamakan Permuafakatan Antara Gabungan di bawah Kerajaan Perpaduan itu menggariskan kerjasama bersama bagi menamatkan kemelut politik negara selepas Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15).

Ia bagi mengukuhkan pentadbiran kerajaan yang dipimpin Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Anwar, ia satu perkembangan yang sangat menarik dan bermakna dalam politik negara. Capai persefahaman supaya jamin politik stabil dan angkat martabat negara maju.

“Yang disepakati bukan kedudukan tapi prinsip dan dasar.

“Saya telah diberikan kepercayaan dan terharu dengan komitmen bersama sebagai pasukan mantap kerajaan Perpaduan dan ini alan membolehkan kita menghadapi apa masalah di Parlimen dengan satu suara di Dewan Rakyat,” katanya dalam majlis menandatangani Permuafakatan antara Gabungan di bawah Kerajaan Perpaduan di pejabat Perdana Menteri hari ini.

MoU ini ditandatangani setiap setiausaha agung parti dalam gabungan dan disaksikan oleh setiap presiden parti masing-masing.

Mereka adalah Setiausaha Agung PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi dan Setiausaha Agung Parti Warisan, Datuk Loretto S Padua.

Ia disusuli ketua-ketua parti turut menandatangani MoU berkenaan sambil disaksikan Setiausaha Agung parti masing-masing.

Mengiringi Anwar adalah Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang juga Timbalan Perdana Menteri serta Datuk Seri Fadillah Yusof selaku Timbalan Perdana Menteri II.

Antara yang hadir adalah Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Shafie Apdal, Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook, Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, Parti Bangsa Malaysia (PBM), Datuk Larry Sng dan Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Turut kelihatan adalah Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan, Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub, Pengerusi DAP, Lim Guan Eng, Setiausaha Agung Warisan, Datuk Loretto S Padua Jr, Naib Presiden UPKO, Datuk Ewon Benedict dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir.

Semalam, Fadillah berkata, perjanjian itu melibatkan semua parti politik yang bersetuju dengan Kerajaan Perpaduan diterajui Pakatan Harapan (PH) dan perbincangan awal mengenai perjanjian berkenaan juga telah dipersetujui. – MalaysiaGazette