Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya merempuh belakang sebuah treler di Taman Ria Jaya, Sungai Petani, Kedah hari ini.

SUNGAI PETANI – Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya merempuh belakang sebuah treler di bahu jalan dalam kemalangan di Jalan Inai, Taman Ria Jaya di sini hari ini.

Kejadian pukul 12.30 tengah malam itu, mengakibatkan, Lim Peng Choon, 28, maut  susulan mengalami kecederaan parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa yang memandu kereta jenis Perodua Axia dalam perjalanan dari arah Kelab Cinta Sayang menghala Jalan Bakar Sampah.

Juruteknik televisyen litar tertutup itu dipercayai memandu melebihi had laju ditetapkan menyebabkan dia gagal mengawal kenderaannya ketika melalui selekoh sebelum merempuh belakang treler yang diletakkan di bahu jalan.

“Kemalangan mengakibatkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada kepala manakala pemandu treler meletakkan kenderaannya di kawasan itu untuk ke rumahnya iaitu tidak jauh dari lokasi.

“Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim untuk dibedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas lanjut Zaidy meminta saksi kejadian tampil ke balai polis untuk membantu siasatan atau menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Juzaili Ismail di talian 019 558 6668. – MalaysiaGazette