Supritendan Suffian Abdullah

BATANG KALI – Seramai sembilan mayat mangsa tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, di sini, belum dituntut waris dan dalam proses pengecaman dan bedah siasat di Hospital Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Suffian Abdullah berkata, seramai 15 mayat mangsa tanah runtuh sudah dituntut waris masing-masing.

Beliau menasihati mana-mana keluarga atau saudara rapat yang terlibat dengan kejadian itu hadir Hospital Sungai Buloh untuk membuat pengecaman atau membuat laporan kehilangan di balai polis.

“Kami mempunyai pasukan khas di Hospital Sungai Buloh yang memberi fokus kepada proses dokumentasi mayat.

“Justeru pihak polis ingin menasihati mana-mana waris, saudara dan rakan yang hilang dan terlibat dalam kejadian tanah runtuh untuk datang ke Hospital Sungai Buloh untuk mengenal pasti mayat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media hari ketiga kejadian tanah runtuh itu di sini hari ini.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis.

Mengulas lanjut, Suffian memberitahu, polis telah mengambil keterangan tiga individu termasuk seorang pengusaha Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya yang merupakan warga tempatan bersama dua pekerjanya.

Jelas beliau, keterangan mereka telah diambil di Balai Polis Hulu Selangor petang semalam.

Pada masa sama beliau tidak menolak kemungkinan individu lain akan dipanggil untuk membantu siasatan.

“Sementara itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) baki mangsa bencana tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm diteruskan hari ketiga dengan kekuatan 112 anggota dan tiga anjiang pengesan,” katanya.

Semalam, media melaporkan siasatan terhadap pengusaha tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya, di sini, akan dilakukan selepas operasi SAR mangsa tragedi tanah runtuh di lokasi itu berakhir.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, dilaporkan berkata tumpuan utama Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika ini ialah usaha mencari dan menyelamat baki sembilan mangsa yang masih hilang dalam insiden berkenaan.

Beliau berkata, untuk peringkat awal, pihak polis akan mengambil keterangan daripada lelaki terbabit.

Acryl Sani berkata, beliau sudah mengarahkan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (KJSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, untuk mengetuai siasatan berkaitan kejadian itu.

“Siasatan akan dipantau oleh KJSJ Selangor dengan mengikut segala peruntukan undang-undang yang bersesuaian,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast