Temubual eksklusif bersama Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA), Tun Dr. Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 15 DISEMBER 2022.

KUALA LUMPUR – Gerakan Tanah Air (GTA) bukan pemecahbelah masyarakat Melayu tetapi sebaliknya parti politik itu hanya mengasingkan diri daripada kumpulan Melayu yang buruk.

Pengerusi GTA Tun Dr. Mahathir menafikan dakwaan bahawa gabungan yang mempunyai empat parti dan disertai badan bukan kerajaan (NGO) itu mahu memecahbelahkan perpaduan orang Melayu.

“Apa yang tidak dapat kita lakukan ialah menyatupadu diri dengan diri dengan orang yang telah melakukan perbuatan buruk, yang tidak sesuai.

“Jadi apa yang berlaku ialah kita berpecah. Tetapi antara yang baik dengan yang buruk. Takkanlah kita hendak bersatu dengan yang buruk.

“Kata pepatah kalau kita letakkan benda yang baik dengan yang buruk ia akan jadi buruk dan tak akan jadi baik,” kata Mahathir.

Menurutnya, GTA menjadikan Melayu yang menyalahgunakan kuasa dan terlibat dengan jenayah sebagai musuh.

Katanya, GTA sama sekali tidak boleh bersama-sama dengan
Melayu yang terlibat dengan jenayah dan mereka yang melaksanakan pentadbiran yang tidak baik.

“Kita mengadakan GTA yang mana orang yang daripada parti politik lain ada bersama. Empat parti jadi satu. Kita masukkan juga NGO, orang perseorangan.

“Itu perpaduan bukan pecah belah. Kalau pecah belah bermakna bahawa kita asingkan mereka dan akan bertanding sesama mereka.

“Sebaliknya apa yang dilakukan oleh GTA ialah mencantum orang Melayu yang hendakkan kebaikan supaya dapat mengalahkan orang Melayu yang salah guna kuasa,” kata Dr. Mahathir.

Bagaimanapun menurut bekas perdana menteri itu, maklumat mengenai perjuangan GTA tidak sampai kepada rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Malah Mahathir juga kesal kerana sehingga kini pendaftaran GTA belum diluluskan.

“Kali ini kita dapati GTA sudah lama minta tapi tidak didaftar.
Sebaliknya dalam keadaan tidak disangka belum ada bernyawa, belum didaftar tiba-tiba Parlimen dibubar dengan cara mengejut.

“Baru belanjawan dibentang belum dapat dibincang tiba-tiba Parlimen dibubar dan pilihan raya diadakan. Tidak beri masa untuk daftar, tidak beri masa untuk berkempen.

“Seolah-olah kerajaan menyekat kebebasan parti lawan supaya mereka mereka tidak boleh melawan dengan pihak kerajaan,” kata Dr. Mahathir.

Beliau berkata demikian kepada MalaysiaGazette dalam wawancara khas untuk program Owh!MG. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Sudahah Tun Atok bekas PM lantik warga Cina ada kluster mahkamah jadi menteri wang lantas gugur kes rasuahnya di mahkamah takkan Tun Atok lupa noo.

Comments are closed.