Ir. Ahmad Zakiyuddin (kiri), Yusof (kanan), Syaiful Rizal (dua dari kanan) dan Mohd Mukhti (dua dari kiri).

PULAU PINANG – Masjid Jamek Shaik Eusoff Dhoby Ghaut dinobatkan rumah ibadat pertama di negara ini mempunyai ruang khas Perpustakaan Digital (E-Library) untuk jemaah dan pelajar mendapatkan maklumat serta bahan digital.

E-Library yang disediakan Yayasan Bank Rakyat (YBR) itu bertujuan menggalakkan orang ramai dan pelajar membaca dalam platform digital, di samping membudayakan amalan itu di kalangan jemaah masjid.

Menurut Pengurus Besar YBR, Syaiful Rozal Abdul Ghani, prihatin dengan usaha meningkatkan taraf pendidikan tanpa sempadan, YBR bersetuju menyediakan Serambi Ilmu Rakyat (SIR) Corner di masjid berkenaan sebagai langkah pertama ke arah membudayakan amalan membaca.

Katanya, inisiatif itu adalah yang pertama dilaksanakan dalam masjid, yang mana sebelum ini YBR menumpukan kepada Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

“SIR Corner adalah projek baharu YBR tahun ini. Ia menyediakan ruang yang dilengkapi komputer, meja dan 50 keahlian E-Library bagi memudahkan perkongsian maklumat melalui koleksi bahan bacaan digital SIR yang bersesuaian dengan komuniti setempat.

“Kita berharap sekurang-kurangnya komuniti yang hadir ke masjid dapat ruang ini untuk membaca, mencari bahan digital dan informasi terkini sementara menunggu masuk waktu solat,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Syaiful Rizal menyempurnakan majlis perasmian E-Library Raudhatul Ulum itu dengan gimik penyerahan SIR Corner itu kepada Pengerusi Masjid Jamek Shaik Eusoff Dhoby Ghaut, Yusof Yaacob.

Majlis itu disaksikan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ir. Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.

Turut hadir, Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Timur Laut Pulau Pinang, Dr. Mohd Siroj Abdul Latiff; Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd Rahman; dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Sementara itu dalam majlis sama, Program Kem Remaja Mumtaz dengan kerjasama Masjid Jamek Shaik Eusoff Dhoby Ghaut turut diadakan yang disertai kira-kira 80 peserta melibatkan murid dan pelajar dari keluarga B40.

Kata Syaiful Rizal, peserta yang menyertai program selama tiga hari itu berusia tujuh hingga 17 tahun.

Jelas beliau, program itu bertujuan meningkatkan daya kefahaman agama dalam kehidupan seharian serta meningkatkan pengetahuan fungsi kanak-kanak dan remaja dalam komuniti.

“Selain membantu mereka yang kurang berkemampuan terutama masyarakat luar bandar, pedalaman dan miskin bandar, program ini juga turut memberi peluang kepada komuniti masjid untuk menjadikannya sebuah hab pendidikan, selain ruang untuk beribadah.

“Kita berharap, inisiatif seumpama ini dapat memberi momentum dalam melahirkan masyarakat berpendidikan yang menjadi asas kepada kemakmuran dan kesejahteraan negara untuk jangka masa yang panjang,” katanya. – MalaysiaGazette