BATANG KALI – Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengarahkan pasukan mencari dan menyelamat (SAR) menggunakan ‘ground penetrating radar’ (GPR) dalam tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father Organic Farm, Jalan Gohtong-Batang Kali.
Pengarah Seksyen Pelaksanaan Operasi Nadma, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, penggunaan GPR itu bagi mengesan baki mangsa yang masih hilang yang kini memasuki hari ketiga kejadian.
Beliau berkata, penggunaan GPR digunakan buat pertama kali dalam operasi SAR di Malaysia dan ia boleh menembusi tanah hingga kedalaman lima meter (m) untuk tujuan pengesanan.
“Nadma telah mengarahkan agar penggunaan teknologi radar digunakan di mana alat GPR telah dibawa masuk ke kawasan pencarian untuk membantu mengesan lokasi mangsa yang terperangkap.
“Pagi ini dua alat GPR telah diterima daripada JUPEM dan Syarikat Geoventure Solution yang digunakan untuk membantu mengesan lokasi mangsa yang masih tertimbus dalam operasi mencari dan menyelamat yg memasuki hari ketiga,” katanya, di sini, hari ini.
Khairi berkata, GPR berkenaan mudah digunakan oleh pasukan penyelamat kerana ia merupakan alat mudah alih.
Jelas beliau, peralatan berkenaan telah digunakan oleh negara-negara jiran bagi membantu dalam operasi SAR.
Sementara itu, operasi SAR di lokasi kejadian masuk hari ketiga bagi mengesan baki sembilan orang mangsa yang masih hilang.
Antara agensi utama terlibat adalah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam (APM).
Ia melibatkan kekuatan 112 anggota dan pegawai serta tiga Unit Anjing Pengesan (K9) yang akan ditambah dari masa ke semasa. – MalaysiaGazette