Mangsa-mangsa banjir yang dibawa ke PPS selepas kediaman mereka dinaiki air.

KUANTAN – Sebanyak empat pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka jam 1 pagi tadi bagi memindahkan mangsa-mangsa banjir yang semakin meningkat.

PPS tersebut ialah di Sekolah Kebangsaan (SK) Beserah, SK Sungai Karang, SK Sungai Ular dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pelindung yang menempatkan 554 mangsa daripada 119 keluarga.

Menurut laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pahang, satu lagi PPS masih beroperasi di Dewan Kampung Pia di Raub menempatkan 40 mangsa banjir daripada 30 keluarga.

Dalam tempoh itu, sebanyak 594 mangsa banjir daripada 132  keluarga di negeri ini berada di PPS berkenaan.

Sementara itu, paras air beberapa sungai utama juga menaik manakala paras air di tiga sungai berada pada paras waspada iaitu Sungai Jelai, Sungai Tembeling dan Sungai Belat.

Paras air di skala bahaya ialah Sungai Keratong, di Rompin yang  kini setinggi 11.76 meter.

Manakala Sungai Lipis di Batu Malim (114.59m); dan Sungai Dong di Kampung Peruas, Raub (134.62m) menunjukkan paras amaran. – MalaysiaGazatte