KUALA LUMPUR – Prosiding gangguan seksual yang mengaitkan pendakwah, Ebit Lew bersambung di Mahkamah Majistret Tenom, Kota Kinabalu mulai esok sehingga 22 Disember ini.
Prosiding ditangguhkan sebelum ini selepas berlangsung selama empat hari pada 27 hingga 30 September lalu.
Setakat ini pihak pendakwaan telah memanggil tiga saksi, termasuk pendakwah bebas, Firdaus Wong pada hari ketiga dan keempat prosiding.
Pada 18 Februari lalu, Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim didakwa atas 11 pertuduhan termasuk dakwaan mengaibkan kehormatan seorang wanita berumur 41 tahun di daerah Tenom dengan menghantar perkataan lucah ke nombor telefon mangsa melalui aplikasi WhatsApp, antara Mac dan Jun tahun lalu.
Pendakwah itu dituduh melakukan perbuatan tersebut mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Dakwaan terhadap Ebit dilakukan susulan laporan polis yang dibuat pada 7 Ogos 2021.
Majistret Nur Asyraf Zolhani sebelum ini mengenakan ikat jamin RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin tempatan terhadap Ebit yang tidak mengaku bersalah atas 11 pertuduhan berkenaan. – MalaysiaGazette