CUTI sekolah tahun ini kembali meriah dengan kemunculan sebuah filem animasi tempatan berjudul Mechamato Movie. Filem ini merupakan prekuel kepada siri Mechamato yang ditayangkan di stesen TV. Kisahnya bermula dengan seorang watak jahat bernama Grakakus sedang berusaha mengumpulkan kesemua robot power sphera. Grakakus mahu mengumpulkan kesemua power sphere ini kerana ingin berkuasa dan melakukan kejahatan. Ketika sedang bertarung untuk mendapatkan power sphere tersebut, kapal angkasa itu terhempas ke bumi.

Sementara itu di bumi, Amato dan rakan karibnya Pian sedang giat menyiapkan satu tugasan projek sains. Mereka berdua sedang menyiapkan sebuah prototaip pembancuh koko yang boleh beroperasi secara menggunakan minda sahaja. Setelah berjaya dengan eksperimen tersebut Amato pulang kerumahnya dengan menaiki basikal. Dalam perjalanan pulang Amato terserempak dengan sebuah kapal angkasa yang telah terhempas. Disitu juga tanpa sengaja dia bertemu dengan robot power sphera bernama Mechabot.

Mechabot mempunyai keistimewaan yang tersendiri iaitu mempunyai kuasa ‘mechanize’ iaitu mampu menukarkan objek-objek menjadi peralatan canggih. Bermula dari itu meraka berdua cuba untuk menyesuaikan diri dengan bereksperimen menggunakan kuasa mechanize dengan pelbagai objek. Mereka juga berjaya mencipta nama mereka sendiri dan muncullah nama adiwira Mechamato. Tanpa membuang masa Mechamato mula mengorak langkah untuk menghapuskan Grakakus dan angkatan tenteranya. Setelah beberapa kali terlibat dengan pertarungan akhirnya Grakakus dapat ditewaskan dan Mechamato muncul sebagai wira.

Filem ini merupakan satu karya terbaru arahan Nizam Abd Razak. Ia menonjolkan satu sisi kematangan dalam gaya pengarahanya. Jalan ceritanya juga disusun kemas tanpa ada watak yang meleret-leret seperti papa Zola dalam cerita Boboiboy. Aksi pertarungan juga dibuat kemas tanpa perlukan masa yang lama untuk diselesaikan. Latabelakang filem pula memaparkan keindahan Bandar Hilir Melaka. Bangunan bersejarah seperti Stadthuys, Menara Jam, A Farmosa, sungai Melaka semunya digarap dengan begitu kreatif.

Lebih istimewa lagi terdapat babak yang menonjolkan keunikan beca roda tiga yang dihias dengan indah. Beca ini juga sempat di ‘mechanize’ oleh Mechabot dan terhasilah satu beca yang sungguh futuristik. Selain itu babak pertarungan Mechamato juga menggunakan silat sebagai teras utamanya dan kurang menggunakan senjata canggih. Mechamato juga mengucapkan kalimah Bimillah sebelum bertarung dan ini benar-benar menghidupkan aksi seorang pahlawan Melayu. Selain aksi bertarung terdapat juga pelbagai adegan lucu yang menghiasi filem ini. Tidak kering gusi dibuatnya. Syabas diucapkan! Semoga filem ini berjaya menawan panggung-panggung lain di seluruh dunia.

Oleh: Rasfan Abu Bakar
Pensyarah Seni Visual Akademi Seni Budaya & Warisan
Kebangsaan (ASWARA)