Acryl bergambar bersama Norazam yang diserang minor stroke di Hospital Selayang hari ini. Foto: Facebook PDRM

KUALA LUMPUR – Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani hari ini meluangkan masa melawat Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis yang dimasukkan ke Hospital Selayang.

Menerusi hantaran di Facebook, Polis Diraja Malaysia (PDRM) berkongsi foto pertemuan kedua-dua individu berkenaan yang turut disertai beberapa pegawai kanan PDRM.

Berdasarkan makluman di laman sosial itu, Norazam dikejarkan ke hospital tersebut selepas beliau diserang angin ahmar susulan keletihan selepas terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) di lokasi kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Farm, Batang Kali Hulu Selangor sejak Jumaat lalu.

Semalam, media melaporkan Norazam dimasukkan ke Hospital Selayang pada pukul 6 petang kerana mengalami keletihan dan minor stroke.

Menurut kenyataan JBPM Selangor, keadaan beliau terkawal dan masih sedarkan diri.

Norazam yang terlibat secara langsung dalam operasi dan menyelamat (SAR) mangsa tanah runtuh turut berada di lokasi pada pukul 2.24 pagi pada hari kejadian.

Menurut kenyataan itu, operasi mencari mangsa tetap dijalankan. – MalaysiaGazette