KUALA LUMPUR – Ekosistem keselamatan siber negara wajib diperkasa dan diperkukuhkan pada tahap maksimum agar dimanfaatkan pada tahap optimum di samping kukuh serta terpelihara daripada sebarang ancaman keselamatan yang menganggu-gugat kesejahteraan dan kedaulatan negara.
Ketua Pengarah Siber dan Elektromagnetik Pertahanan, Laksamana Muda Datuk Shamsuddin Ludin berkata, landskap kontemporari sekuriti siber negara adalah satu subjek yang semakin lama menjadi isu panas dalam dunia digital tanpa sempadan sekarang.
Katanya, sekiranya gagal memperkasa teknologi siber termasuk dari segi kerjasama dan juga pemahaman menyeluruh, ianya akan menjadi rapuh.
“Kita semua harus melihat dan membanca serta menonton laporan-laporan di media sosial tentang bagaimana mudahnya pihak tidak bertanggungjawab merosakkan imej-imeh pihak tertentu dengan melancarkan scam dan penggodaman ke atas pengurusn kewangan ataupun reputasi organisasi.
“Apa yang kita bimbangkan adalah sekiranya tidak mengadakan program siber sebegini dengan kesedaran kolaborasi, maka satu masa nanti tidak mustahil ianya akan menjadi ancaman kepada keselamatan serta kedaulatan negara.
“Program Siber Siaga 2022 yang berkonsep ‘Whole of government, Whole of society approach’ diyakini akan menjadi satu pemula satu mercu tanda bahawa program keselamatan siber adalah program yang wajib dijadikan agenda keselamatan pihak kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas perasmian yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara Tan Sri Mohd Asghar Khan Gorkman Khan di Wisma Perwira ATM hari ini.
Tambah beliau, kerajaan selain memberikan keutamaan dari segi peruntukan kewangan untuk memperkukuhkan siber sekuriti perlu juga menyediakan tenaga kerja melahirkan pakar-pakar anak tempatan, yang mana universiti boleh dijadikan institusi melahirkan pakar-pakar keselamatan siber bagi mewujudkan benteng pertahanan memelihara siber keselamatan dan kedaulatan negara.
Menurutnya, ATM juga melalui Bahagian Siber dan Elektromagnetik Pertahanan telah membangunkan kriptografi buatan tempatan dengan kerjasama Sekuriti Siber Malaysia (CSM), Mampu, Bahahgian Industri Pertahanan Kementerian Pertahanan (Kementah) dan SCS Sdn.Bhd yang dikenali sebagai Armed Forces Dedicated Algorithm for Malaysia atau singkatan ADAM.
Jelasnya, sistem ADAM telah melalui ujian dan berjaya mendapat pengiktirafan Malaysia Cryptography Validatuon dari pada CSM pada 30 September lalu.
“Dengan adanya ADAM iaitu kriptografi yang pertama di negara ini dapat mengurangkan kebergantungan Angkatan Tentera Malaysia terhadap produk luar negara, sekali gus dapat mengangkat kredibiliti syarikat tempatan dalam memperkasakan Industri Pertahanan Negara sepertimana yang dihasratkan dalam Kertas Putih Pertahanan dan Dasar Kriptografi Negara,” ujarnya.
Dalam perkembangan berkaitan, Shamsuddin akui sistem dan setiap rangkaian yang ada depan mata mempunyai kelemahan masing masing dan apa sekalipun agenda harian ada pihak yang akan cuba mengambil kesempatan.
“Kita yang guna sistem keselamatan wajib semak semula dan kuatkan dasar kita agar sentiasa kontemporari dan pada masa sama wajib melihat cara mengukuhkan dan menguatkan sistem siber sekuriti yang sedia ada dan ia pasti melibatkan perbelanjaan, apabila lihat perancangan perbelanjaan, jangan terlampau gairah terhadap sistem hebat, tapi gunakan secara bijaksana memperkukuh keselamatan siber negara,” kata beliau.
Beliau menambah, rakyat sentiasa terdedah kepada ancaman siber sekuriti dalam kehidupan rutin harian mereka menerusi penggunaan aplikasi perbankan dalam talian, perbuatan telefon, sidang video, bersuafoto berkongsi makanan dan sebagainya dalam media sosial.
“Rakyat gagal sedar bahawa mereka menerusi penggunaan teknologi secara langsung mendedahkan diri mereka kepada risiko keselamatan siber, penggodaman dan scam.
“Contoh, semasa bersuafoto diri atau berkongsi makanan kita lupa, kata laluan, barang dokumen penting mengandungi rahsia terdedah kepada kebocoran dan begitu juga kadang-kadang kita lupa ada keluarga yang mempunyai anak kurang upaya yang mana bersuafoto anak OKU kita terdedah bahaya boleh dijadikan sebagai anasir oleh penjenayah sekuriti siber.
“Perkara ini rakyat perlu memandang serius dan sentiasa berhati-hati dalam menggunakan aplikasi digital dan dalam talian,” tegasnya. – MalaysiaGazette