Gambar hiasan

KUANTAN – Seorang suri rumah trauma disamun dua individu menaiki sebuah kereta berwarna hitam di Taman Tas di sini hari ini.

Menurut menantu mangsa, Nurelly ketika dihubungi MalaysiaGazette, semasa kejadian kira-kira 10.30 pagi, ibu mertuanya berusia 57 tahun itu menaiki motosikal bersendirian dalam perjalanan pulang setelah membuat pengeluaran wang tunai dari sebuah bank.

“Tiba-tiba pemandu kereta itu menahan motosikal mama saya. Mama ingat dia (pemandu) nak bertanya jalan dan dalam kereta ada dua orang, seorang lelaki yang memandu dan wanita pakai pelitup muka dan sarung tangan macam kerja kebun,” katanya.

Nurelly berkata, lelaki itu kemudian bertindak mengacukan pemutar skru kepada ibu mertuanya sambil mengarahkan supaya ibu mertuanya diam.

Panik dan ketakutan, dia berkata, ibu mertuanya terpaksa akur bagi mengelak kejadian lebih buruk berlaku kepada dirinya.

“Mulanya dia nak beg duit mama tapi dia (penyamun) nampak pada tangan mama ada gelang tangan emas dan dia suruh perempuan yang naik sama kereta dengan dia mencabut semua emas daripada mama,” tambah Nurelly lagi.

Dia memberitahu, akibat kejadian itu, ibu mertuanya kerugian kira-kira RM15,000 termasuk wang tunai berjumlah RM1,500.

Nurelly memberitahu, ibu mertuanya masih dalam keadaan terkejut dan trauma akibat kejadian berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast