Yahaya menyampaikan surat penghargaan Ketua Polis Pahang kepada salah seorang penerima sempena Perhimpunan Bulanan bagi Bulan Mei Tahun 2025 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang hari ini.

KUANTAN – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Pahang merekodkan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM84.7 juta bagi tempoh Januari hingga April tahun ini.

Nilai itu merupakan peningkatan hampir 10 kali ganda berbanding tempoh sama tahun lalu iaitu hanya RM8.2 juta.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, dalam tempoh sama tahun ini, sebanyak 4,261 kes dengan 4,839 tangkapan telah dilaksanakan, melibatkan pelbagai kesalahan penyalahgunaan dadah.

“Jumlah itu sedikit menurun berbanding tempoh sama tahun 2024 iaitu sebanyak 4,362 kes dan 4,810 tangkapan,”katanya semasa berucap dalam Perhimpunan Bulanan bagi Bulan Mei Tahun 2025 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Yahaya berkata, tindakan pencegahan yang dilaksanakan pihak JSJN pula berjaya menahan 14 individu di bawah Akta Langkah-Langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 kerana dipercayai terlibat dalam pengedaran dadah.

Tambah beliau, sebanyak 190 pertuduhan turut dibuat di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 sepanjang tahun ini, berbanding 220 pada tahun sebelumnya.

“Dalam tempoh yang sama juga, JSJN telah membuka 4,180 kertas siasatan dengan 3,753 daripadanya berjaya diselesaikan, menjadikan kadar penyelesaian kes mencecah 90 peratus,” katanya.

Dalam usaha berterusan membanteras sindiket pengedaran dadah pula, Yahaya memaklumkan, JSJN Pahang berjaya menumpaskan empat sindiket dadah yang melibatkan enam tangkapan menerusi Ops Terancang yang dinamakan Ops Indera.

Sementara itu, Yahaya turut mengingatkan semua pegawai dan anggota polis supaya terus berpegang pada prinsip etika kerja yang tinggi serta mematuhi undang-undang dan peraturan sedia ada.

“Bersesuaian dengan tema sambutan Hari Pekerja yang telah disambut pada 1 Mei 2025 lalu iaitu `Pekerja Kesuma Bangsa’ yang menekankan peranan penting para pekerja sebagai tulang belakang negara dan pelaksana agenda Malaysia Madani.

“Pelbagai elemen pencegahan jenayah boleh dirancang dan dilaksanakan secara bersepadu bagi membuktikan kesungguhan PDRM menggalas tanggungjawab membanteras jenayah disamping memberikan kepuasan serta memastikan kehendak masyarakat dalam mewujudkan persekitaran yang aman dan selamat.  

Beliau juga menyeru semua anggota polis dan Pegawai Awam Kontinjen Pahang agar sentiasa mempamerkan tata kelakuan yang baik dan bertimbang rasansupaya segala tindakan dalam melaksanakan tugas tidak menjejaskan imej dan reputasi diri, jabatan dan PDRM. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast