Ahmad Samsuri Mokhtar

KUALA LUMPUR – Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar sepatutnya menamatkan percutiannya di Auckland, New Zealand serta-merta ekoran bencana banjir yang melanda negeri itu.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, beliau difahamkan, Ahmad Samsuri akan pulang ke tanah air hari ini.

“Ada yang mengucapkan ‘Salam Aucklang’. Ada juga yang menyindir, ‘di Auckland musim summer, di Terengganu musim winter‘.

“Apakah Dr. Sam tidak terasa? Sudah ada korban banjir. Bossku dulu balik segera ketika main golf dengan (Barack) Obama. Ia jemputan khas dan bertujuan diplomatik.

“Biarlah famili meneruskan cuti walaupun Perdana Menteri atau Menteri Besar memang layak berehat setelah penat mengurus negara atau negeri. Apa nak buat,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Dalam media sosial ketika ini, netizen mempersoalkan tindakan Ahmad Samsuri bercuti ke luar negara ketika Terengganu dilanda banjir.

Memetik laporan Malaysiakini, Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga, dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat mengesahkan Ahmad Samsuri berada di New Zealand.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bergegas ke Terengganu untuk meninjau sendiri situasi banjir di negeri berkenaan.

Setakat pagi tadi, jumlah mangsa banjir di Terengganu meningkat kepada 40,456 orang daripada 11,097 keluarga berbanding 39,311 daripada 10,937 keluarga malam tadi. – MalaysiaGazette