Razalif (tengah) kini merupakan Presiden PFP selepas mengambil alih parti itu daripada bekas presidennya, Patric Oii (kanan) pada satu majlis di Jalan Kedah, Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Penang Front Party (PFP) bakal bertanding di 15 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Pulau Pinang pada Pilihan Raya Negeri (PRN) yang dijangka berlangsung tahun depan.

Presidennya, Datuk Razalif Mohd Zain yang baru mengambil alih parti itu berkata, beliau yakin parti berkenaan akan mendapat sokongan umum susulan bakal menampilkan anak muda.

Razalif.

Jelas beliau, gerakan meremajakan PFP merupakan tindakan pertamanya bagi melahirkan pemimpin pelapis bersifat lestari untuk mengharungi dunia politik masa depan.

“Memang fokus kita nak bertanding pada PRN nanti dan di Pulau Pinang sekurang-kurangnya 15 kerusi DUN akan ditandingi.

“Kalau boleh semua kerusi kita nak tapi kita tengok dulu lah mana tempat yang kita boleh layak untuk bertanding,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, bekas Presiden PFP, Datuk Patrick Ooi menyerahkan jawatan dan parti tersebut kepada Razalif untuk dijenamakan semula pada majlis uyang diadakan di Jalan Kedah, di sini.

Razalif (kanan) menerima watikah penyerahan parti PFP daripada bekas presidennya, Patrick Ooi.

Ketika ditanya Patrick Ooi sama ada penyerahan parti ini disebabkan ada kes mahkamah membabitkan dirinya, beliau menafikannya, sebaliknya menyifatkan tidak bersalah selagi mahkamah tidak menjatuhkan hukuman.

PFP adalah parti yang memihak kepada kerajaan sedia ada termasuk menyokong  penuh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setakat ini, PFP mempunyai 5,000 ahli di Pulau Pinang.

Bagaimanapun, Razalif memaklumkan pihaknya menyasarkan 100,000 ahli khususnya golongan muda menyertai parti terbabit dalam tempoh tiga bulan lagi.

Mengulas lanjut Razalif berkata, sasaran itu akan terlaksana susulan pihaknya akan melakukan beberapa perubahan termasuk mengeluarkan perkataan ‘Penang’ dalam nama parti yang baharu bagi membolehkan pengambilan ahli secara lebih meluas melibatkan seluruh negara dapat dilakukan.

“Selain itu, kita juga akan berbincang dengan syarikat-syarikat besar untuk mendapatkan potongan harga belian kepada ahli yang berdaftar yang secara tidak langsung membantu kehidupan harian mereka,” jelas beliau.

Dalam perkembangan lain, Razalif yang juga Presiden Yayasan Metamorphosis memaklumkan pihaknya memperuntukkan RM100,000 kepada semua mangsa kejadian tanah runtuh di Batang Kali, Selangor.

“Kita akan memanggil semua waris dan mangsa untuk menerima sumbangan dalam satu majlis penyerahan yang akan diadakan dalam masa terdekat,” kata beliau. – MalaysiaGazette

Video Berkaitan