LEBIH sedekad selepas Na’vi menangkis pencerobohan manusia ke Pandora, Jake Sully hidup sebagai ketua klan Omaticaya dan mempunyai keluarga bersama Neytiri, termasuk anak lelakinya Neteyam dan Lo’ak, anak kandungnya Tuk, anak angkatnya Kiri dan seorang lelaki manusia bernama Spider, anak kepada Kolonel Miles Quaritch yang dilahirkan di Pandora.
Tetapi sikap manusia terus mengecewakan puak Na’vi, manusia kembali dan mendirikan pangkalan operasi utama yang baru bernama Bridgehead City. Tujuannya tetap sama iaitu untuk menyediakan tempat untuk menjajah kerana Bumi sedang diambang kemusnahan. Apa yang mengejutkan ialah munculnya Quaritch sebagai ketua mereka. Ia adalah kombinasi avatar Na’vi yang ditanam dengan minda dan kenangan marin RDA yang telah meninggal dunia.
Jake memulakan kempen gerila menentang talian bekalan RDA. Quaritch dan konco-konconya pula menjalankan misi pemberontakan menentang Jake serta menangkap anak-anaknya. Menyedari bahaya tentang keselamatan mereka, Jake dan keluarganya mengasingkan diri dari Omaticaya dan berundur ke puak orang terumbu Metkayina di pesisir timur Pandora, di mana mereka diberi perlindungan, walaupun sesetengah puak menganggap mereka mempunyai ‘darah syaitan’ kerana warisan genetik manusia yang ada pada mereka.
Sungguhpun demikian mereka sekeluarga mengambil peluang untuk mempelajari cara hidup orang terumbu. Anka angkatnya Kiri membina ikatan rohani dengan laut dan makhluknya manakala Lo’ak berkawan dengan Tsireya, anak perempuan ketua klan Tonowari dan isterinya Ronal. Setelah itu Quaritch dapat menjejaki mereka ke kepulauan terumbu Metkayina.
Quaritch mula menggunakan kekerasan keatas puak orang asli bagi mendapatkan maklumat tentang lokasi Jake. Apabila mereka tidak memberikan kerjasama, dia mengarahkan konco-konconya membunuh orang yang tidak bersalah bagi tujuan untuk menarik perhatian Jake. Avatar: The Way of Water mempunyai nilai teknikal yang tinggi kerana filem itu dihasilkan dengan bajet yang sangat besar iaitu melebihi $400 juta.
Kesan visualnya yang menakjubkan dan pemandangan Pandora sungguh menawan sesiapa sahaja yang menontonya. File mini juga penuh dengan pelbagai elemen aksi yang sengit lagi mendebarkan. Muzik latar filem yang digubah oleh Simon Franglen juga sangat hebat dan membuatkan penonton merinding.
Pengarah filem James Cameron berjaya membawa filem ini ke tahap yang sukar untuk disaingi oleh pengarah lain. Dia juga seperti biasa berupaya untuk menterjemahkan idea kreatifnya dalam bentuk visual dengan begitu hebat dan mempersonakan. Para pelakon seperti Sam Worthington, Zoe Saldana, Sigourney Weaver, Kate Winslet dan Stephen Lang turut tampil dengan persembahan yang cemerlang. Bagi mereka yang gemarkan filem bergenre fantasi futuristik, filem Avatar: The Way of Water pasti memberi kepuasan visual yang tiada tandingan.
Oleh: Rasfan Abu Bakar
Pensyarah seni visual di Akademi Seni Budaya & Warisan
Kebangsaan (ASWARA).