Shahrir Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Tan Sri Shahrir Samad mempersoalkan tanggungjawab dua pegawai atasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang melakukan pendakwaan ke atasnya dengan kertas siasatan yang tidak lengkap.

Dengan menyebut nama Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram dan Pelucuthakan Harta (AMLA) SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin dan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Ahmad Akram Gharib, beliau berkata, kedua-dua pegawai ini yang berperanan mendapatkan izin pendakwaan dari Tan Sri Tommy Thomas.

Veteran UMNO itu berkata, sebagai Pengarah AMLA, Zamri wajib menentukan siasatan itu lengkap berpandukan kepada tiga kenyataannya kepada SPRM.

Shahrir mendakwa sebanyak lapan kali beliau menyatakan duit RM1 juta yang diterima daripada Datuk Seri Najib Razak adalah untuk menggantikan perbelanjaan yang telah didahulukan dengan menggunakan duit simpan untuk masa pencennya.

Jelasnya, Ahmad Akram yang merupakan Timbalan Pendakwa Raya SPRM yang pakar undang-undang AMLA, wajib menyemak bukti-bukti yang terkumpul dalam kertas siasatan yang disediakan pegawai penyiasatnya.

”Cukup bukti atau tidak, wajib ditentukan. Dah siasat semua kenyataan, terutama orang yang bakal hendak dituduh!

”Kalau nak pakai Akta Cukai Pendapatan, cukup ke kepakaran dalam SPRM? Perlu tak tanya habis-habis dengan pakar-pakar percukaian LHDN? Adakah wang ganti balik atau ‘reimbursement’ boleh dikenakan cukai?

”Soalan-soalan asas bagi seorang pengamal undang-undang. Apatah lagi berpangkat Timbalan Pendakwa Raya.

”Jangan ego kerana ada kuasa! Nanti orang luar kata ‘bodoh sombong’, terasa pula. Tambah lagi Peguam Negara masa tu pun bukan pakar sangat pun dalam undang-undang jenayah, AMLA mahupun percukaian,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Shahrir yang juga bekas Ahli Parlimen Johor Bharu sedang didakwa atas dakwaan gagal mengisytiharkan RM1 juta diterima daripada Najib melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013, kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas tetap mengarahkan SPRM untuk mendakwa Shahrir walaupun kertas siasatan terhadapnya tidak lengkap.

Pegawai Penyiasat SPRM Nurzahidah Yacop, 35, berkata, beliau menerima kertas siasatan daripada pihak pendakwaan bahawa Thomas memberi izin pada 15 Januari 2020 untuk mendakwa bekas Pengerusi Felda itu.

Beliau berkata demikian semasa disoal balas peguam Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros mewakili Shahrir pada perbicaraan bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu yang didakwa atas pertuduhan gagal mengisytiharkan RM1 juta diterima daripada Najib melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 Nov 2013 kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Dalam posting beliau di Facebook, Shahrir turut menempelak  Ketua Pesuruhjaya SPRM pun tahu mengertakknya yang merupakan seorang aktivis politik sahaja.

Kesudahannya, seorang penjawat awam berpangkat rendah menjadi mangsa kepada kecetekan pengetahuan dan kerja tidak teliti pegawai-pegawai atasan seperti Zamri dan Ahmad Akram.

Dalam kes ini, pegawai penyiasat SPRM, Nurzahidah yang menjadi mangsa.

Sudahlah kena hadir dalam mahkamah, dia bersendirian pula untuk mempertahankan siasatan yang tidak lengkap dan tuduhan yang di luar kepakaran SPRM sendiri.

Bagaimanapun, Shahrir berkata, beliau terpaksa berdepan dengan dugaan ini untuk mempertahankan nama baiknya hanya kerana bergiat dalam politik,

”Nama baik SPRM, bagaimana pula? Nama-nama seperti Tommy Thomas, Latheefah Koya, Dato Zamri, Akram, bagaimana pula?,” soalnya dengan sinis. – MalaysiaGazette

Tommy tetap mahu dakwa Shahrir walaupun kertas siasatan tak lengkap