saman sivil
Shahrir Abdul Samad

KUALA LUMPUR – Tan Sri Tommy Thomas didakwa telah memberi arahan kepada uruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mendakwa Tan Sri Shahrir Ab Samad atas tuduhan pengubahan wang haram walaupun kertas siasatan tidak lengkap.

Perkara itu didedahkan oleh Penolong Penguasa SPRM, Nurzahidah Yacop.

Ketika prosiding hari ini, kata Nurzahidah yang juga pegawai penyiasat kes itu telah menerima kertas siasatan Timbalan Pendakwa Raya yang mana ianya telah mendapat izin pendakwaan daripada Tommy pada 15 Januari 2020.

Ketika pemeriksaan balas hari ini antara peguam bela mewakili Shahrir, Datuk Syed Faisal Al-Edros Syed Abdullah Al-Edros telah mencadangkan tindakan Tommy yang mahu mendakwa anak guamnya walaupun kertas siasatan tidak lengkap, saksi mengiyakan cadangan itu.

Soal Syed Faisal, sebagai penyiasat SPRM, saksi sememangnya sedar kertas siasatan itu tidak lengkap sebaliknya menerima arahan untuk menuduh dan mendakwa daripada Tommy.

Malah saksi ke-22 juga membuat pengakuan bahawa dia sudah memberikan nasihat berhubung perkara itu kepada pegawai atasannya tentang siasatan melalui sudut ganti balik namun tiada arahan lanjut yang diberikan.

Tommy Thomas Ganesan
Tommy Thomas

“Saya cadangkan kepada anda tuduhan dilemparkan terhadap anak guam saya hanya berasaskan kepada satu kertas siasatan yang belum lengkap sepenuhnya?,” soal Syed Faisal.

Saksi sambil menganggukkan kepala berkata ‘ya’.

Nurzahidah juga bersetuju bahawa tertuduh (Shahrir) sebenarnya telah berbelanja melebihi RM2.6 juta melalui transaksi dalam buku akaun banknya sebelum menerima wang berjumlah RM1 juta daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika itu.

“Mengapa tidak siasat dari sudut itu? Adakah adil untuk kamu tidak siasat,” soal peguam lagi.

Nurzahidah berkata, ia tidak adil kerana ketika itu beliau tidak diberikan penyata bank sebaliknya siasatan hanya selepas tarikh penerimaan wang RM1 juta pada 28 November 2013.

Shahrir yang juga bekas Ahli Parlimen Johor Bharu sedang didakwa atas dakwaan gagal mengisytiharkan RM1 juta diterima daripada Najib melalui sekeping cek AmIslamic Bank Berhad bertarikh 27 November 2013, kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ketika prosiding semalam, Nurzahidah turut mendedahkan kepada mahkamah  ketika menyoal siasat tertuduh ketika itu, Shahrir mendakwa wang diterima adalah bagi menggantikan wang pencennya yang digunakan bagi kerja kegiatan politik di kawasan Parlimen Johor Bahru.

Malah Shahrir turut memberitahunya yang beliau memohon secara lisan kepada Najib supaya wang itu digantikan ketika berjumpa Perdana Menteri ketika itu di Pejabat Perdana Menteri (PMO) pada 2013.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin kemudian menangguhkan perbicaraan sehingga 5 Januari depan.

Ketika ini Shahrir sedang didakwa mengikut Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Yang patut didakwa Tommy Thomas kerana nemyalahguna kuasa dalam banyak kes. Dia salahguna kedudukan jawatannya atas niat jahat dan kepentingan politik

Comments are closed.