Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR – Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih telah beroperasi semula selepas bacaan tahap 0 TON sebanyak tiga kali berturut-turut direkodkan, hari ini.

Pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor) menerusi kenyataan berkata, pengoperasian semula ini membabitkan proses pembersihan dan rawatan air yang dijangka mengambil masa kira-kira 12 jam.

“Selepas proses pembersihan dan rawatan itu, bekalan air terawat yang bersih dan selamat akan mula diagihkan secara berperingkat kepada pengguna,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.

Setakat ini, lori tangki air giat digerakkan bagi memberikan bantuan bekalan air kepada pengguna di kawasan terjejas.

Terdahulu agensi itu memberitahu, status bacaan pencemaran bau di dua Loji Rawatan Air (LRA) yang dihenti tugas semalam masih tidak selamat untuk beroperasi semula.

Katanya, bacaan pencemaran untuk LRA Bukit Tampoi mencatatkan 2 TON manakala LRA Sungai Semenyih iaitu O TON setakat pukul 8 pagi tadi.

Semalam, dua LRA itu dihenti tugas akibat tumpahan pati minyak wangi daripada kemalangan lori membawa muatan itu di Lebuhraya ELITE berdekatan Bandar Serenia di Negeri Sembilan.

Tumpahan 1,000 liter pati minyak wangi tersebut telah menyebabkan pencemaran bau dan LRA terbabit terpaksa dihenti tugas bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Berikutan insiden pencemaran bau itu menyebabkan 472 kawasan di lima wilayah Air Selangor mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual.

Pengguna boleh mendapatkan senarai kawasan yang terjejas di https://hentitugas.airselangor.com/ atau menerusi aplikasi Air Selangor. – MalaysiGazette