Ramli Mohamed Yoosuf

KUANTAN – Polis Pahang telah membuka sebanyak 1,903 kertas siasatan melibatkan pelbagai kesalahan jenayah komersial dalam tempoh Januari sehingga November tahun ini.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, daripada jumlah itu sebanyak 1,775 adalah kes penipuan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

“Jumlah laporan polis yang telah diterima sepanjang tempoh Januari hingga November 2022 adalah sebanyak 9,739 laporan.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 1,903 kertas siasatan telah dibuka dalam tempoh berkenaan di mana 1,775 adalah Seksyen 420 kanun keseksaan,” katanya ketika sidang media di sini hari ini.

Ramli berkata, jumlah keseluruhan kes e-dagang ialah sebanyak 701 dengan jumlah kerugian sebanyak RM8,240,036.21 yang melibatkan penipuan pembelian dalam talian.

Manakala jumlah kes pinjaman tidak wujud bagi tempoh yang sama sebanyak 239 dan mencatatkan jumlah RM3,032,748.70 di mana kebanyakan mangsa terpedaya dengan iklan pinjaman menerusi media sosial seperti Facebook, WhatsApp dan sebagainya.

Sebanyak 282 kes bagi macau scam (Ops Pelican) juga dilaporkan dengan rekod jumlah kerugian sebanyak RM8,769,653.04 dalam tempoh 11 bulan tahun ini.

Tambah Ramli, modus operandi kes itu lazimnya melibatkan mangsa akan menerima panggilan daripada pihak yang medakwa mereka daripada jabatan kerajaan dan terlibat dengan pelbagai kesalahan jenayah.

Ramli juga memaklumkan  sebanyak 1,222 serbuan dan 1,278 tangkapan telah dibuat oleh bagi tempoh Januari sehingga kini. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast