Foto: FB Ryuji Sato

KUALA LUMPUR – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini menghantar surat rasmi kepada Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) berhubung mutu pengadilan pada perlawanan Kumpulan B, Piala Mitsubishi Electric AFF 2022 antara Vietnam dan Malaysia di Stadium My Dinh, Hanoi pada Selasa lalu.

Setiausaha Agungnya, Noor Azman Hj Rahman berkata, tindakan tersebut dibuat selepas Sekretariat Agung FAM mendapatkan pandangan daripada Jawatankuasa Penilai Pengadil FAM dipengerusikan oleh Timbalan Presidennya, Datuk S. Sivasundaram yang telah berbincang dan meneliti klip video beberapa insiden di sepanjang perlawanan tersebut.

“Susulan itu, surat rasmi yang menyatakan ketidakpuasan hati FAM terhadap tindakan dan keputusan pengadil pada perlawanan berkenaan telah pun dihantar ke Setiausaha Agung AFF, Winston Lee pada petang tadi bagi memastikan tindakan selanjutnya dapat diambil oleh badan induk bola sepak Asia Tenggara itu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada perlawanan yang penuh kontroversi itu, pengadil Ryuji Sato dari Jepun melayangkan kad merah kepada Azam Azmi Murad pada minit ke-62 dan memberi sepakan penalti kepada Vietnam.

Bagaimanapun, rakaman perlawanan menunjukkan Azam dikasari Doan Van Hau terlebih dahulu sebelum kedua-dua pemain terjatuh di luar padang.

Pada perlawanan itu Malaysia tewas 0-3.

Malah pada aksi kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada Jun tahun lalu, pengadil yang sama menghadiahkan penalti kepada Vietnam ketika perlawanan berbaki 10 minit sebelum wisel penamat ditiup apabila pemain, Van Toan yang berlari dalam kotak penalti di hadapan Brandon Gan dengan tidak semena-mena jatuh.

Keputusan Sato itu menyebabkan Malaysia tewas 1-2, sekali gus menutup peluang Harimau Malaya untuk ke pusingan seterusnya pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2022 dengan mengakhiri saingan pada kedudukan keempat Kumpulan G. – MalaysiaGazette