Faktor berat badan serta saiz badan menyebabkan pihak bomba mengambil masa untuk mengeluarkan mangsa kemalangan maut yang tersepit dalam keretanya di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu, Pulau Pinang awal pagi tadi.

GEORGE TOWN – Sepasukan bomba berdepan kesukaran ketika mengeluarkan mangsa kemalangan maut yang berstatus obesiti di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini, awal pagi tadi.

Mangsa berusia 52 tahun yang menaiki kereta jenis Perodua Viva itu dilaporkan terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah kereta lain kira-kira jam 1.55 pagi.

Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, Pegawai Kanan Bomba II, Fairol Mahazi Malek berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan memaklumkan seorang individu tersepit dalam kenderaan akibat kemalangan pada jam 2.01 pagi.

Fairol Mahazi.

Jelas beliau, seramai 10 anggota dikerahkan ke lokasi bagi operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa tersebut.

“Sebaik tiba di lokasi kita dapati, seorang lelaki tersepit di bahagian pemandu kereta tersebut.

“Hasil siasatan awal mendapati mangsa dalam perjalanan dari Bayan Lepas ke pusat bandar merempuh belakang sebuah kereta.

Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

“Impak rempuhan itu dipercayai mangsa tersepit dan operasi mengeluarkan mangsa dilakukan sebelum dia disahkan meninggal dunia oleh pegawai Kementerian Kesihatan (KKM) di tempat kejadian ,” katanya ketika ditemui di lokasi kemalangan.

Tambah Fairol Mahazi, pihaknya berdepan kesukaran ketika mengeluarkan mangsa tersepit itu disebabkan faktor berat badannya.

“Keadaan saiz serta berat badan mangsa dalam anggaran 150 kilogram menyebabkan kita terpaksa mengambil sedikit masa untuk mengeluarkannya.

“Operasi tamat sepenuhnya pada jam 3.17 pagi dan siasatan lanjut membabitkan kemalangan dijalankan oleh pihak polis,” ujar beliau. – MalaysiaGazette