Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 59 peratus daripada 83 kawasan di Gombak dan Kuala Lumpur sudah mendapat bekalan air setakat jam 7 pagi pagi tadi.

Gangguan air sejak semalam disebabkan kerja-kerja pembaikan paip pecah di Bukit Indah Industrial Park, Sungai Buloh.

Air Selangor berkata, tempoh masa pemulihan bekalan air adalah berbeza dari satu kawasan ke kawasan lain bergantung kepada lokasi dan jarak premis pengguna.

“Para pengguna yang telah dan akan mendapat bekalan air untuk membiarkan pili air mengalir sehingga jernih sebelum digunakan untuk kegunaan harian.

”Air Selangor berharap agar para pengguna yang telah mendapat bekalan air akan menggunakan air secara berhemah bagi memastikan proses pemulihan di kawasan-kawasan yang masih terjejas berjalan lancar seperti yang dijadualkan,” katanya dalam satu kenyataan di sini. – MalaysiaGazette