Dr Zaliha Mustafa

KUALA LUMPUR – Setakat ini Malaysia tidak menyaksikan peningkatan mendadak kes jangkitan Covid-19 di dalam negara serta kes yang memerlukan kemasukan ke hospital namun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sentiasa memantau situasi semasa perkembangan kejadian jangkitan di peringkat antarabangsa, khususnya di China.

Sehingga 24 Disember 2022, sebahagian besar varian Covid-10 yang dikesan di Malaysia adalah varian Omicron (66.17%), diikuti oleh varian Delta (32.69%), Beta (1.06%); dan Alpha (0.08%).

Daripada kumulatif varian Omicron yang dikesan, 61.6% adalah subvarian BA.5.2 dan 10.8% adalah subvarian XBB.1 dan tiga (3) kes subvarian BF.7.

Meskipun begitu, Menteri Kesihatan, Dr Zaliha Mustafa berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mempertingkatkan kesiapsiagaan dan respons bagi menghadapi sebarang kemungkinan peningkatan kes dan kematian Covid-19 melalui pelaksanaan empat strategi utama.

Empat strategi itu ialah memperkukuh survelan Covid-19 dalam komuniti, persekitaran dan makmal; melindungi komuniti melalui pemberian vaksin; pertingkatkan kesiapsiagaan dan respons sistem perkhidmatan kesihatan awam dan perkasakan komuniti melalui penglibatan dan advokasi berterusan.

Menurut beliau, dalam memperkukuhkan survelan Covid-19 dalam komuniti, persekitaran dan makmal, ujian lanjut ke atas sampel positif menggunakan teknik Whole Genomic Sequencing (WGS) dilaksanakan bagi mengesan awal kemasukan varian baharu dalam negara.

Survelan ke atas sampel bagi kes influenza-like illness (ILI) di 59 buah klinik sentinel dan severe acute respiratory infection (jangkitan teruk akut pernafasan – SARI) di 18 buah hospital sentinel di seluruh negara masih diteruskan. B

Dalam kenyataan di sini, Zaliha berkata, bagi mempertingkatkan pengesanan sebarang varian baharu juga, semua kes ILI dan SARI yang datang mendapatkan perkhidmatan di fasiliti kesihatan dan mempunyai sejarah perjalanan ke negara China dalam tempoh 14 hari terakhir, atau mempunyai sejarah kontak dengan individu yang mempunyai sejarah perjalanan ke negara China dalam tempoh 14 hari terakhir akan dibuat ujian RTK-Ag Covid-19 dan seterusnya dihantar untuk penjujukan genom sekiranya positif.

Selain itu, survelan di Pintu Masuk Antarabangsa (PMA) juga diperkukuhkan dengan pengambilan sampel air kumbahan dari pesawat yang datang dari negara China. Sampel air kumbahan akan dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) untuk ujian PCR dan seterusnya dihantar untuk penjujukan genom sekiranya dikesan positif.

Semua pengembara yang tiba dari luar negara termasuk negara China di PMA akan melalui saringan demam dan mereka yang dikesan demam atau bergejala atau rujukan kendiri akan dirujuk ke pusat kuarantin atau pihak kesihatan untuk pemeriksaan semula. Sekiranya disyaki Covid-19, ujian akan dijalankan.

Zaliha berkata, sehingga 28 Disember 2022, seramai 27,531,220 orang (84.3%) dari penduduk Malaysia telah mendapat vaksinasi dos primer yang lengkap, bagaimanapun, hanya seramai 16,278,036 orang (49.8%) menerima dos penggalak pertama dan 626,896 orang (1.9%) bagi dos penggalak kedua.

Oleh itu, KKM sangat menggalakkan mereka yang berisiko tinggi untuk mendapatkan vaksinasi bagi mengurangkan kebarangkalian mendapat jangkitan serius danckematian.

”Mereka yang belum melengkapkan dos primer atau dos penggalak, boleh membuat janji temu melalui MySejahtera atau menghubungi Klinik Kesihatan berhampiran.

”Bagi menggalakkan pengambilan vaksin dalam kalangan kumpulan yang berisiko tinggi, KKM menawarkan pemberian vaksin secara walk-in (tanpa perlu membuat janji temu terlebih dahulu) di Klinik Kesihatan dan hospital KKM bermula 9 Januari 2023 (mengikut waktu operasi klinik) kepada kes dengan komorbiditi termasuk penyakit kronik; atau warga emas berumur 60 tahun dan ke atas; atau individu berisiko mendapat gejala teruk dan komplikasi jangkitan Covid-19,” katanya.

Rawatan ubat antiviral Paxlovid® (nirmatrelvir/ritonavir) juga disediakan kepada pesakit Covid-19 mengikut garis panduan yang ditetapkan dan bagi tujuan ini, KKM sentiasa memastikan ketersediaan antiviral di semua fasiliti KKM yang dikenalpasti.

Dalam mempertingkatkan kesiapsiagaan dan respons sistem perkhidmatan kesihatan awam, KKM memperkukuhkan pengurusan Covid-19 melalui pendigitalan dilaksanakan dengan pendekatan FTTIS (Find, Test, Trace, Isolate and Support) yang diautomasikan.

Melalui pendekatan ini, individu yang menjalani ujian pengesanan Covid-19 kendiri boleh melaporkan keputusan ujian mereka ke dalam aplikasi MySejahtera – selain melakukan ujian tersebut di fasiliti kesihatan.

”Selain itu, KKM akan memastikan semua CAC beroperasi secara fizikal mahupun secara maya. CAC di klinik yang dikenalpasti bersedia untuk menerima kedatangan / panggilan pesakit yang tinggi untuk membuat penilaian terhadap pesakit yang disahkan positif jangkitan Covid-19,” ujarnya.

Dalam memperkasakan komuniti melalui penglibatan dan advokasi berterusan, KKM telah menggerakkan MyCHAMPION atau Malaysian Health Community Agent melalui inisiatif Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) bagi memperkasakan kawalan kendiri kesihatan dalam mengambil tindakan pencegahan penyakit, menilai status kesihatan diri, memastikan kepatuhan rawatan dan mengamalkan norma baharu yang boleh membantu mengekang penularan jangkitan Covid-19.

Masyarakat dinasihatkan agar mengamalkan gaya hidup sihat dan selamat bagi menghindarkan diri dari bahaya jangkitan Covid-19 dan disarankan sentiasa mengamalkan TRIIS (Test, Report, Isolate, Inform, Seek).

Bagi mereka yang berisiko tinggi termasuk individu yang mempunyai komorbid amat digalakkan memakai pelitup muka terutama di kawasan atau tempat yang sesak, seperti perhimpunan ramai manakala mereka yang bergejala juga digalakkan memakai pelitup muka dan menjalankan ujian Covid-19 kendiri.

”KKM akan terus memantau perkembangan kejadian jangkitan Covid-19 di dalam dan luar negara serta bekerjasama rapat dengan WHO, China serta negara-negara ASEAN demi memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya dilaksanakan secara berterusan,” tambahnya. – MalaysiaGazette