V P Shanmugam

MELAKA – Keputusan sama ada menggantung tugas seorang jurulatih bola tampar Melaka yang didakwa menampar dua pemain remaja perempuan 16 Disember lalu akan diputuskan Rabu ini.

Exco Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Melaka, V P Shanmugam berkata, setakat ini, Majlis Sukan Negeri Melaka (MSN) belum mengambil sebarang tindakan terhadap jurulatih berkenaan meskipun Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) sudah memutuskan tindakan menggantung penglibatan guru berkenaan.

Menurut beliau, setakat ini, jurulatih lelaki terbabit yang juga guru sebuah sekolah di sini masih belum dikenakan tindakan oleh MSN dan sebarang keputusan hanya akan dibuat selepas mesyuarat pasca Exco Rabu ini.

“Rabu ini selepas mesyuarat pasca Exco, saya akan panggil jurulatih, dua pelajar berkenaan, pegawai MSN dan pengurusan pertandingan, Persatuan Bola Tampar Para Negeri Melaka (PBTNM) dan beberapa lagi pihak terlibat untuk meneliti apakah ada tindakan selanjutnya akan diambil seperti diputuskan MAVA.

“Kalau semuanya dalam diselesaikan dengan cara baik, tiada tindakan lanjut akan diambil terhadap jurulatih terbabit malah saya selaku Exco bertanggungjawab akan selesaikan isu ini dengan cara yang terbaik.

“Sebenarnya, isu ini sudah selesai pada hari kejadian 16 Disember lalu apabila jurulatih dan dua pelajar berkenaan sudah saling bermaafan sebelum video ini tular,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas penularan video memaparkan tindakan jurulatih berkenaan menampar pemain remaja perempuan berusia 14 tahun itu selepas pertandingan Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 Tahun di Kota Tinggi, Johor pada 16 Disember lalu.

Insiden itu kemudian telah mendapat perhatian beberapa pihak antaranya Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh yang menyelar tindakan berkenaan, manakala Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pula sedang mendapatkan butiran lanjut kerana membabitkan pelajar bawah umur.

Malah, MAVA turut mengambil keputusan menggantung tugas jurulatih berkenaan daripada melibatkan diri dalam semua aktiviti bola tampar kebangsaan sehingga siasatan selesai.

Mengulas lanjut Shanmugam berkata, beliau kesal dengan insiden itu kerana jurulatih yang juga guru sekolah menengah itu merupakan warga pendidik yang sangat berdedikasi dalam tugasnya melatih pelajar berkenaan sejak sekolah rendah.

“Walaupun perbuatan tampar itu tidak sepatutnya berlaku, tapi bila masuk pertandingan dalam kedudukan jurulatih yang mahukan tahap kemahiran tinggi tapi tiba-tiba jatuh, mungkin itu yang membuatkannya marah.

“Jadi kita tunggu Rabu ini, walaupun MAVA sebagai badan induk dah putuskan gantung, keputusan itu ada di bawah kuasa MSN yang akan menilai daripada pelbagai sudut,” katanya – MalaysiaGazette.

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast