Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni )Profesor Dr. Norkhalid Salimin memberi kata-kata semangat kepada ResQ Team.

TANJUNG MALIM – Prihatin dengan nasib yang menimpa penduduk di Pasir Mas dan Rantau Panjang, Kelantan akibat banjir, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI)
menggerakkan sukarelawan ResQ Team untuk misi kemanusiaan di dua daerah negeri pantai Timur tersebut baru-baru ini.

Matlamat misi pasca banjir kali ini bukan sahaja menyalur khidmat bantuan pembersihan yang terjejas akibat bencana alam tersebut, malah turut menyalurkan bantuan sumbangan berbentuk pakaian dan makanan kepada mangsa yang terkesan serta 30 keluarga pelajar UPSI di sekitar Kelantan dan Terengganu.

Menurut Timbalan Pengarah Pusat Transformasi Komuniti Universiti (UCTC) UPSI, Prof. Madya Dr. Muhammad Aqil Aryan Wong, kali ini seramai 72 sukarelawan membabitkan 16 kakitangan, 56 pelajar dari Majlis Anak Johor (M@JOR), sebuah lori, dua buah bas, sebuah van dan sebuah kenderaan pacuan empat roda serta pelbagai peralatan pembersihan digerakkan ke lokasi.

”Misi kali ini digerakkan bagi membantu mangsa banjir yang terkesan dengan mengagihkan keperluan asas kepada para penduduk di kawasan terjejas dengan membantu membantu membersihkan rumah mereka serta kenalpasti keperluan lain.

“Malah dengan kehadiran para sukarelawan dari kalangan mahasiswa sekaligus menanam semangat kemasyarakatan sebagai menyokong aspirasi pendidikan negara,” katanya yang juga ketua misi kemanusian itu.

Dalam pada itu Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr. Md Amin Md Taff menzahirkan rasa terima kasih atas keprihatinan dan semangat kesukarelawanan ResQ Team yang terus disemai dalam diri yang menjadi pembakar kepada mereka untuk terus membantu masyarakat dan secara tidak langsung mendekatkan warga universiti dengan masyarakat.

”UPSI sentiasa menghantar misi kemanusiaan atas dasar keprihatinan membantu mangsa banjir di seluruh negara dan sejak ResQ ditubuhkan lebih 40 misi bantuan dilaksanakan,’ katanya. – MalaysiaGazette