KUALA LUMPUR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor akan memanggil saksi atau individu yang telah merakam video kejadian kebakaran yang berlaku di Wisma Jakel, Seksyen 7 Shah Alam, bagi membantu siasatan.
Pengarah JBPM Negeri Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, pihaknya melihat kebakaran yang berlaku kali kedua di Wisma Jakel pada awal pagi tadi dari pelbagai sudut sama ada ia membabitkan jenayah atau sebagainya.
Katanya, sehingga kini seramai 43 pegawai dan anggota bomba serta khidmat Unit Anjing Pengesan (K9) bomba telah digerakkan ke lokasi bagi memadamkan kebakaran dan juga melakukan siasatan forensik bagi mengenal pasti punca kebakaran.
“Kita lihat aspek kebakaran sama ada disebabkan bara sebelum ini (kebakaran kali pertama) atau sistem pendawaian iaitu akibat litar pintas namun pendawaian mungkin boleh diketepikan kerana bekalan elektrik di deretan bangunan berlaku kebakaran ini telah ditutup sepenuhnya.
“Operasi akan berterusan sehingga semua punca api dipadamkan sepenuhnya dan kita telah menghantar pasukan masuk ke dalam untuk memunggah dan mengalihkan tekstil yang ada bagi memastikan tiada bara api selepas ini,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim turut memantau situasi di lokasi kejadian sejak pagi tadi.
ARTIKEL BERKAITAN: Wisma Jakel Shah Alam terbakar
Unit K9 Digerakkan di Wisma Jakel
Tambah Norazam lagi, pihak bomba akan memanggil saksi-saksi yang melihat kejadian kebakaran itu untuk membantu siasatan lanjut.
Malah katanya, pasukan bomba juga akan menganalisa video insiden kebakaran itu dengan kerjasama pasukan polis selepas klip rakaman kebakaran berkenaan ditularkan di media sosial sejak kejadian pertama.
“Kita akan memanggil saksi-saksi serta individu yang telah merakam kebakaran dan menularkan di media sosial untuk membantu kita dalam siasatan kejadian ini.
“Tindakan ini diambil untuk mendapatkan maklumat berdasarkan video yang dipamerkan di media sosial. Kita akan menganalisa dalam semua aspek untuk mengetahui dari mana api (kebakaran) bermula.
“Kita akan melakukan siasatan dan kajian secara mendalam untuk mendapatkan punca sebenar kebakaran.
“Buat masa ini pasukan bomba belum ada sebarang kesimpulan mengenai insiden kebakaran kedua tengah malam tadi dan segalanya akan disiasat dalam masa 14 hari dan sampel kebakaran juga akan dianalisa pasukan forensik secara terperinci,” katanya lagi.
Tegas Norazam, pihaknya perlu membuktikan dengan fakta dan hasil analisa yang dilakukan berdasarkan bahan bukti yang diperoleh untuk mengetahui punca kebakaran itu.
Dalam kejadian pertama pada jam 7.08 pagi Ahad lalu, kebakaran yang tercetus di bangunan tiga tingkat milik Wisma Jakel yang berkeluasan 80,000 kaki persegi itu telah mengakibatkan syarikat tekstil itu mengalami kerugian dianggarkan lebih RM300 juta.
Dalam kejadian terbaharu jam 12.40 tengah malam tadi, kebakaran berlaku di bilik simpanan kain langsir di wisma tersebut.- MalaysiaGazette