Api marak di tingkat dua Wisma Jakel cawangan Shah Alam. Foto: Ihsan Bomba Selangor

KUALA LUMPUR – Gedung pakaian, Wisma Jakel yang cawangan Shah Alam musnah dalam kebakaran yang berlaku di Jalan Plumbum, Seksyen 7, Shah Alam pada pagi ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Datuk Norazam Khamis berkata, bilik gerakan operasi negeri menerima panggilan kecemasan daripada orang awam yang memaklumkan mengenai insiden itu pada jam 7.08 pagi.

Katanya,bertindak atas panggilan itu, pasukan penyelamat bersama jentera pemadam daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Shah Alam, Kota Raja, Sungai Pinang, Subang dan Damansara dengan seramai 33 anggota pemadam telah bergegas ke lokasi kejadian.

Wisma Jakel Shah Alam musnah dalam kebakaran pagi Ahad. Foto: Ihsan Bomba Selangor

“Sejurus tiba ke lokasi jam 7.19 pagi, pemerhatian lanjut mendapati kebakaran membabitkan sebuah kedai tiga tingkat Wisma Jakel Shah Alam telah terbakar dan 80 peratus musnah dalam kebakaran itu.

“Anggota bomba telah mengaturgerakkan peralatan dan terlibat dalam usaha memadam dan mengawal sepenuhnya kemaraan api,” katanya dalam kenyataan awal pagi ini.

Tambah beliau, selepas kira-kira sejam kemudian kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya.

“Punca yang mengakibatkan kebakaran itu masih dalam siasatan kami.

“Bagaimanapun tiada sebarang kemalangan jiwa berlaku setakat ini,” ujarnya. – MalaysiaGazette