Tangkap layar dari video tular yang memaparkan tindakan jurulatih berkenaan menampar pemain remaja perempuan berusia 14 tahun selepas pertandingan Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 Tahun di Kota Tinggi, Johor pada 16 Disember lalu.

SHAH ALAM – Kementerian Pendidikan  (KPM) tidak perlu menunggu laporan polis untuk menjalankan siasatan ke atas salah laku guru yang didakwa menggunakan kekerasan terhadap seorang pelajar.

Menterinya, Fadhlina Sidek berkata, siasatan itu boleh dilakukan terlebih dahulu menerusi Lembaga Tatatertib Perkhidmatan Pendidikan.

“Kita masih lagi menyiasat, dia tak semestinya kena tunggu laporan polis nak siasat. Kita ada bahagian kita khususnya integriti dan tatatertib kita boleh buat.

“Tak semestinya bergantung kepada laporan polis,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu Fadhlina mengadakan tinjauan sesi persekolahan 2023 di Sekolah Kebangsaan Jalan Kebun dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jalan Kebun hari ini.

Pada Ahad lalu tular di media sosial satu klip video yang memaparkan tindakan seorang lelaki yang dipercayai jurulatih pasukan bola tampar wanita menampar dua pemain pasukan itu.

Persatuan Bola Tampar Malaysia (MAVA) dalam kenyataan pada Isnin lalu melaporkan jurulatih berkenaan telah digantung daripada melibatkan diri dalam semua aktiviti bola tampar kebangsaan sehingga siasatan selesai.

MAVA melaporkan pihaknya juga telah menubuhkan badan siasatan bagi menyiasat kejadian dengan serta-merta dan akan berhubung dengan pihak berkaitan bagi tujuan itu.

Dalam pada itu, Fadhlina mengesahkan pihaknya sudah menemui ibu bapa pelajar terbabit untuk mendapatkan maklum balas berkenaan insiden terbabit.

“Keutamaan kita adalah keselamatan dan juga kebajikan kanak-kanak tersebut. Kita sudah jumpa ibu bapa dan dapatkan semua maklum balas.

“Kita tak kompromi soal keganasan dan yang berkait rapat dengan isu-isu yang melibatkan keganasan terhadap pelajar kita,” katanya.

Selain itu, KPM juga akan meminta maklum balas daripada pihak berkepentingan lain yang terlibat dalam insiden tersebut.

“Kita akan lihat secara keseluruhan bukan sahaja maklum balas ibu bapa, bahkan pihak lain. Sebenarnya banyak pemegang taruh dalam kes itu dan KPM juga memandang serius isu ini.

“Kita akan tetap meneruskan khususnya berkait rapat dengan integriti dan tata tertib,” katanya.

Selain itu, pelajar yang dikasari itu sudah diberikan nasihat dan sudah menjalani sesi kaunseling.

“Ya, kita sudah pun melalui Jabatan Pendidikan Negeri Melaka dan kita sudah laksanakan kaunseling,” katanya lagi. – MalaysiaGazette