Annuar Menara KL
Annuar Musa

KUALA LUMPUR – Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap tiga individu yang didakwa memfitnah beliau dalam isu penjualan saham Menara Kuala Lumpur (Menara KL).

Mereka ialah Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Mohd. Razlan Rafii serta Adrian Lim Chee En dan K. Pragalath Kumar.

Menurut bekas Ahli Parlimen Ketereh itu, beliau tiada pilihan selain mengarahkan peguam mengambil tindakan undang-undang terhadap tiga individu terbabit.

“Sejak tercetus polemik berhubung Menara KL yang kononnya dijual senyap-senyap oleh Telekom Malaysia Berhad (TM), telah tersiar pelbagai kenyataan yang mengelirukan.

“Lebih buruk lagi terdapat beberapa hantaran yang tanpa segan silu membuat fitnah yang menjejaskan imej dan reputasi serta memberi kesan mendalam kepada beberapa pihak termasuk diri saya sendiri,” katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.

Isu pengambilalihan saham Menara KL Sdn. Bhd. (MKLSB) oleh Hydroshoppe Sdn. Bhd. menjadi topik perbualan hangat dalam kalangan netizen di media sosial kebelakangan ini memandangkan syarikat tersebut dikatakan menjana keuntungan bersih RM25 juta.

Sebelum ini, Annuar pernah berkata, Kementerian Komunikasi dan Multimedia itu tidak terlibat dalam keputusan penjualan saham MKLSB yang dibuat oleh TM.

Untuk rekod, Menara KL dimiliki kerajaan, manakala operasi dan pengurusannya diserahkan kepada MKLSB yang merupakan anak syarikat TM sejak 1996.

Annuar menambah, terdapat individu lain yang membuat hantaran tanpa mengemukakan identiti sebenar dan pihaknya akan cuba mengenal pasti mereka.

“Saya serahkan kepada pasukan peguam untuk memulakan tindakan yang sesuai dan bertepatan dengan undang-undang sedia ada,” jelasnya.

Beliau memberitahu, setiap perkara berbangkit terutamanya yang melibatkan kepentingan rakyat dan negara perlu disiasat dengan teliti oleh pihak berwajib.

“Semua pihak perlu memberikan kerjasama serta tidak mengganggu penyiasatan dengan menyebarkan fitnah dan berita palsu,” katanya. – MalaysiaGazette