KUALA LUMPUR – Nadzmi Adhwa menafikan dia kini memperlahankan sedikit karier lakonan selepas menceburi bidang bisnes produk makanan sejak 2020.
Sebaliknya, pelakon berusia 30 itu sedia kembali berlakon sekiranya tawaran yang diterima kena dengan watak dan waktu yang terluang.
Suami kepada pelakon Ardell Aryana itu berkata, bidang seni masih menjadikan keutamaan namun dia perlu membahagikan masa dengan bisnes selain turut memiliki sebuah syarikat produksi sendiri.
“Saya masih lagi minat berlakon walaupun sudah memiliki produksi sendiri dan juga juga aktif dalam perniagaan makanan, Arwaafood.
“Ketika ini saya lebih banyak berada di belakang tabir selain mahu beri ruang kepada pelakon berbakat yang lain menyerlahkan kebolehan mereka.
“Namun jika saya mendapat tawaran berlakon dengan naskhah yang boleh mengembangkan karakter, saya pasti akan terima dan kembali berlakok,” katanya yang masih merindui dunia lakonan.
Nadzmi turut mengakui keutamaannya sudah berubah apabila perlu membahagikan fokus kepada tiga perkara iaitu keluarga, bidang seni serta perniagaan.
Malah dia turut berkongsi kegembiraan mengenai Arwafood di mana produk keluarannya Mee Kari Opah di bawah jenama terbabit terjual sebanyak 15,000 kotak menerusi platform TikTok baru-baru ini.
“Kami bersyukur produk ini mendapat sambutan yang luar biasa dan kami sendiri menyangka Mee Kari Opah terjual dengan kuantiti sebanyak itu dalam masa satu jam sahaja.
“Malah sehingga kini, stok yang dikeluarkan dan tidak mencukupi sehingga menjadi rebutan dalam kalangan ejen,” katanya yang memiliki 50 ejen ketika ini.
Nadzmi menambah, idea tercetus untuk menceburi bidang makanan selepas dia dan Ardell mendapat tawaran untuk berkolaborasi dalam perniagaan ini daripada dua orang sahabat lama, Hadi Kaderi dan Nizar Hafiz.
“Mereka datang mengajak kami menerokai bidang perniagaan makanan dan timbul idea untuk muncul dengan mi kari.
“Setelah enam bulan berhempas pulas memikirkan idea untuk segi konsep dan rasa yang ingin ditampilkan dan wujud Mee Kari Opah.
“Tiada istilah ambil kesempatan walaupun kami adalah selebriti kerana kami telah berkawan sejak sejak sekian lama,” katanya yang mengakui produk mi kari itu pada awal berada di pasaran kurang mendapat sambutan.
Nadzmi memberitahu, apa yang menyeronokkan kerana apabila berjaya dalam bisnes makanan itu, mereka dapat melakukan program tanggungjawab sosial koroprat untuk membantu golongan yang memerlukan pertolongan apabila menubuh Pertubuhan Kebajikan Ariana.
Ini kerana katanya menerusi hadiah yang diterima di aplikasi Tiktok ketika mempromikan mi kari Opah akan disalurkan kepada pertubuhan itu.
“Kami baru sahaja turun selama enam hari membantu mangsa banjir baru-baru ini menyampaikan sumbangan kepada mereka,
“Malah pada Februari, pertubuhan kami akan ke Syria untuk misi kemanusiaan di mana kami kini bersyukur kerana perniagaan banyak mendekatkan kami untuk membantu orang ramai,” katanya.
Sementara itu, Nadzmi dan Ardell mendirikan rumah pada 2018 dan kini dikurniakan anak perempuan, Arwa Malaikha Urwa yang berusia dua tahun lebih. – MalaysiaGazette.