Keadaan motosikal mangsa yang hancur remuk teruk setelah terbabit kemalangan di di Jalan Lapangan Terbang berhampiran Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS), Kuantan pada semalam.

KUANTAN – Seorang pelajar sekolah menengah di sini meninggal dunia setelah motosikal yang ditungganginya melanggar sebuah lori dan terbabas lalu merempuh kereta di berhampiran Lapangan Terbang Sultan Ahmad Shah (LTSAS) semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisoner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pelajar berusia 15 tahun mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di tempat kejadian itu tidak mempunyai lesen memandu.

Wan Mohd Zahari Wan Busu

“Nahas membabitkan tiga buah kenderaan motosikal jenis Yamaha LC 135, Lori Nissan dan Perodua Axia.

“Siasatan awal mendapati penunggang motosikal dari arah LTSAS menghala ke arah Kuantan manakala pemandu lori dan pemandu kereta dari arah Kuantan menghala ke LTSAS.

“Apabila sampai di tempat kejadian, pemandu lori sedang membelok ke simpang sebelah kanan, tiba-tiba mangsa yang datang dari arah bertentangan telah melanggar lori itu dan terbabas dan melanggar kereta yang datang dari arah Kuantan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Wan Zahari, tiada rekod saman bagi mangsa dan pemandu lori namun pemandu kereta terbabit mempunyai dua rekod saman lampau pandu laju yang dikesan menerusi sistem Saman Cops.

Manakala hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku kerana kecuaian pemandu lori yang gagal memberi laluan kepada kenderaan yang bergerak lurus sehingga menyebabkan kemalangan berlaku.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) bagi tujuan bedah siasat dan sampel darah dan urin mangsa diambil untuk tujuan toksikologi.

Kes masih dalam siasatan lanjut  di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – MalaysiaGazette