Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah (dua kanan) bersama Pengarah Jabatan Kewangan DBKL, Mohamad Hamim (dua kiri) menunjukkan buku Belanjawan DBKL 2023 pada sidang media di Menara DBKL, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 04 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang menjalankan siasatan terhadap beberapa anggota penguat kuasa yang terlibat didakwa meminta rasuah daripada peniaga limau mandarin di ibu kota.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah berkata, dakwaan itu amat mengejutkannya dan tidak berkompromi dengan salah laku selain menekankan tindakan akan diambil jika mereka bersalah.

“Semalam, saya telah mengeluarkan arahan peringatan kepada semua pegawai dan anggota DBKL untuk tidak melibatkan diri atau yang melanggar prosedur sebagai pegawai pihak berkuasa tempatan.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah. Foto HAZROL ZAINAL, 04 JANUARI 2023.

“Saya juga keluarkan arahan untuk mengkaji semula dari segi proses pengurusan penguatkuasaan di tapak perniagaan dan mencari langkah baharu supaya anggota tidak lagi terjebak dalam situasi sebegini,” ujarnya dalam sidang media Belanjawan DBKL 2023 di sini hari ini.

Terdahulu, media melaporkan terdapat beberapa pegawai DBKL didakwa menerima rasuah serta membuli peniaga yang menjual limau mandarin di Taman Usahawan Kuchai di Kuchai Lama kerana didapati melanggar garis panduan pelesenan.

Tambah laporan itu lagi, peniaga terbabit dikatakan telah diugut oleh pegawai DBKL dengan meminta RM1,000 jika tidak mahu diganggu sekaligus menyebabkan peniaga terpaksa menjual limau mandarin itu pada harga RM52 bagi 20 biji.

Bagaimanapun, pegawai kanan DBKL yang dihubungi memaklumkan perkara itu sedang disiasat dan pegawai yang terlibat juga sudah dipanggil untuk memberi keterangan.

Dalam pada itu, menurut Mahadi, DBKL juga akan mengadakan pertemuan bersama SIRIM QAS International Sdn Bhd (SIRIM Berhad).

Ia bertujuan mendapatkan bantuan mengadakan sistem pengurusan kualiti (ISO) bagi tujuan mengekang aktiviti rasuah dan salah guna kuasa serta mendapatkan akretidasi.

Datuk Bandar Kuala Lumpur berkata, pihaknya memandang serius berhubung isu intergriti melibatkan anggotanya dan tindakan akan dikenakan jika didapati bersalah.

Tambah lagi, pertemuan yang akan diadakan minggu ini turut akan menggariskan keperluan dan memberi panduan kepada DBKL dalam mencegah, mengesan dan bertindak balas terhadap aktiviti penyogokan atau rasuah di dalam organisasi.

“Di Kuala Lumpur ini, kita terdedah dengan pelbagai cabaran antaranya ramai orang nak berniaga tetapi tiada tempat yang sempurna seperti di celah-celah kawasan dan cabarannya adalah dari segi tindakan penguatkuasaan.

“Tambah lagi ada elemen lain bukan budaya, jadi perkara itu kita tidak mahu berlaku. Arahan saya sudah keluarkan untuk kaji semula susunan pekerja, penempatan pegawai dan beberapa sistem lain diteliti semula supaya kita dapat tutup perkara seperti ini,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast