mahkamah Syed Saddiq pendidikan seks
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Undang-Undang dan Reformasi perlu mengambil tindakan sewajarnya berhubung kes remaja mendakwa dirogol polis baru-baru ini.

Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda), Syed Saddiq Syed Abd Rahman berkata, sudah tiba masanya kerajaan membentangkan Rang Undang-Undang Suruhanjaya Bebas Aduan Salah Laku Polis (RUU IPCMC) 2019 pada sidang Dewan Rakyat yang akan bermula Februari ini agar isu berkaitan ditangani dengan adil.

“RUU IPCMC bukan hanya bertujuan untuk melakukan pertuduhan dan menghukum pihak berkuasa semata-mata. Penubuhan badan yang lebih bebas, adil dan telus di bawah RUU IPCMC ini akan bantu mengembalikan dan meningkatkan keyakinan rakyat terhadap pasukan polis.

“IPCMC harus dibentangkan semula di dalam Dewan Rakyat untuk penelitian lanjut daripada semua Ahli-Ahli Parlimen agar kejadian seperti ini tidak berulang lagi,” katanya menerusi kenyataan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas dakwaan laporan berita pada Isnin lalu bahawa seorang remaja perempuan yang berusia 16 tahun dirogol pegawai polis ketika dipanggil untuk membantu siasatan.

Jelas Syed Saddiq, aduan orang awam tidak boleh diabaikan tanpa tindakan efektif.

Ujarnya, KDN harus mencontohi langkah proaktif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang memastikan pegawai penguatkuasanya telus selain menjaga kebajikan anggotanya.

Kementerian Dalam Negeri harus mencontohi langkah proaktif yang diambil oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam memastikan ketulusan pegawai penguatkuasa kesihatan serta menjaga kebajikan mereka dengan melengkapi anggota-anggota ini dengan pemakaian kamera badan.

“Aduan-aduan yang melibatkan kepentingan orang awam tidak boleh dibiarkan sunyi sepi tanpa khabar berita dan tiada tindakan yang diambil,” tambah beliau. – MalaysiaGazette