KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Anak-Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) mengesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk mempertingkatkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pekerja di dalam industri penerbangan.

Sekretariatnya berkata, keperluan SOP baharu itu penting sebelum kerajaan membuka penerbangan untuk menerima kehadiran pelancong asing khususnya dari China.

Ia susulan kebimbangan rakyat Malaysia terhadap kehadiran pelancong China yang dikhuatiri membawa jangkitan Covid-19, sekaligus mencetuskan gelombang besar-besaran di negara ini.

“Ramai ahli kesatuan kami masih dalam keraguan dan ada yang bertanya adakah SOP baharu diperlukan buat mereka yang bekerja terutama sekali dalam penerbangan keluar masuk ke negara China..

“Jika keperluan pemakaian pelitup muka dalam penerbangan ke negara yang mempunyai kes tinggi.

“KKM harus memberi penjelasan mengenai SOP baharu bukan hanya kepada penumpang tetapi juga kepada pekerja di lapangan terbang.

“Walaupun kes sudah reda di dalam negara, tetapi ada laporan menyatakan ia telah merebak ke negara lain,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, media melaporkan China akan membuka semula sempadannya pada 8 Januari ini selepas hampir tiga tahun ditutup berikutan pandemik Covid-19.

Bagaimanapun timbul kebimbangan apabila berlaku lonjakan ketara kes Covid-19 di negara itu, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Nufam berharap KKM dapat memberi penjelasan awal mengenai SOP pemakaian pelitup muka apabila penerbangan dari China diaktifkan semula pada 8 Januari ini.

“Buat masa kini, ada kru kabin yang masih mahu memakai pelitup muka dan rasa lebih selamat apabila berinteraksi dengan penumpang.

“Nufam berharap syarikat penerbangan juga dapat menggalakkan pekerja mereka memakai pelitup muka demi kesihatan diri pekerja.

“Kita tidak mahu mendengar masalah atau aduan teguran daripada pekerja mengenai pengurusan mereka meletak syarat sendiri mengenai pemakaian pelitup muka,” katanya.

Nufam juga tidak mahu ada pekerja yang terkesan dengan kes Covid-19 tidak boleh bekerja dan akhirnya terpaksa dikuarantin di rumah.

“Kru kabin juga akan kehilangan pendapatan bulanan mereka jika mereka terpaksa dikuarantin.

“SOP untuk kaum pekerja harus juga lebih jelas atas usaha untuk mengelak sebarang jangkitan berlaku di tempat kerja,” katanya lagi.- MalaysiaGazette