penjara
Gambar hiasan.

SUNGAI PETANI – Seorang inspektor polis dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol remaja perempuan bawah umur pada akhir bulan lepas.

Mohd Maliki Azmi, 34, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Roslan Hamid .

Mengikut pertuduhan, tertuduh sebagai pegawai penyiasat berpangkat Inspektor telah didakwa merogol remaja berusia 16 tahun itu dengan kerelaannya dan kerelaan itu diperoleh menggunakan kedudukan berkuasa tertuduh terhadap mangsa.

Mohd Maliki dituduh melakukan perbuatan itu di bilik pegawai penyiasat di Ibu Pejabat Polis Daerah Yan lebih kurang 6.30 petang pada 28 Dis 2022 mengikut Seksyen 376(2)(f) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan berkaitan amang seksual terhadap remaja perempuan itu di tempat, masa dan tarikh sama.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 14(a), Seksyen 14(c) dan Seksyen 15(a)(ii) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta sebagai tambahan hukuman bagi Seksyen 16(1) itu iaitu boleh dipenjara tidak melebihi lima tahun dan disebat dengan tidak kurang dua sebatan.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hizween Azleena Othman Kamal, Zulfadzly Hassan dan Nurul Natasha Rizal manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan kepada tertuduh, bagaimanapun jika mahkamah membenarkan jaminan, pendakwaan mencadangkan RM20,000 bagi pertuduhan merogol dan RM20,000 bagi setiap kes amang seksual.

Mohd Maliki memohon jaminan rendah atas alasan dia tiada pendapatan berikutan akan digantung tugas selepas kes itu.

“Selain itu saya juga perlu menyara ibu bapa. Isteri tidak bekerja dan saya menanggung beban hutang yang tinggi,” katanya.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin bagi pertuduhan merogol dan RM15,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga kes amang seksual berserta syarat tambahan melarangnya mengganggu mangsa kes itu dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Sebutan untuk semua kes ditetapkan pada  6 Feb bagi lantikan peguam serta serahan dokumen.

— BERNAMA