Datuk Seri molest outraging modesty own daugh
Gambar hiasan

JIKA anda bertanya kepada diri anda sendiri, bagaimanakah anda belajar dan mengetahui tentang perhubungan dan seksualiti? Adakah melalui televisyen? Atau pun melalui bacaan tidak sengaja dari internet? Atau pun daripada abang dan kakak anda? Atau pun adakah melalui perbincangan dengan guru anda di sekolah? Atau mungkin sekali daripada ibu dan bapa anda. Sekiranya pendidikan itu anda perolehi daripada ibu atau ayah anda, cuba anda imbau semula bagaimana keadaannya semasa ibu dan ayah anda menceritakannya kepada anda?

Dalam kemudahan kebolehcapaian dan lambakan maklumat, tidaklah sama jika hendak dibandingkan antara zaman kita dengan zaman anak-anak sekarang. Mereka menghadapi limpahan rangsangan yang sekiranya tidak dikawal dengan baik, akan mendatangkan masalah yang amat serius. Aplikasi-aplikasi “dating” dalam talian yang boleh menjelma ke alam nyata, pornografi, pemangsa-pemangsa pedofilia, video-video “soft-porn”, bahan bacaan yang meromantiskan jenayah rogol, komik lucah, amat mudah didapati secara sengaja dan juga melalui iklan-iklan yang terkeluar di pelayar internet. Terbaru, kita digemparkan dengan “scammer” yang menyamar sebagai doktor atau guru yang cuba untuk melakukan pemeriksaan fizikal remaja perempuan secara maya melalui aplikasi Telegram.

Menurut kajian terkini, kebanyakkan para remaja sekolah menjadikan kawan-kawan, televisyen, dan sumber internet sebagai rujukan utama untuk persoalan-persoalan berkaitan seksualiti yang mereka hadapi. Sumber-sumber yang tidak berautoritatif ini amat cenderung untuk memberikan maklumat yang salah, dan tidak bersesuaian. Lebih membimbangkan, kajian tersebut turut melaporkan bahawa pendedahan kepada pengalaman seksualiti berlaku apabila remaja menonton filem atau video lucah, keluar temujanji, dan membaca bahan-bahan yang berunsur lucah.  Kebanyakkan ibu bapa, disebabkan mereka sendiri mengalami kesukaran untuk bercakap
tentang ilmu yang dikatakan sulit dan “taboo” ini, mereka mengalami kesukaran yang sama untuk berbicara perihal seksualiti ini kepada anak-anak mereka sendiri.

“Bagaimana saya nak mulakan perbincangan ini kepada anak-anak?”, “Saya berasa tidak selesa menjawab soalan daripada anak saya yang baru berumur lima tahun”, “Kalau saya salah jawab nanti, saya takut mereka akan berbuat sesuatu yang salah”, “Macam mana jika anak saya lebih tahu tentang perkara ini dari saya?”, “Adakah saya akan dilihat sebagai contoh tidak baik dengan memperkatakan tentang isu seksualiti?, “Sejauh manakah harus saya santuni persoalan anak-anak?” mungkin antara persoalan yang selalu bermain di fikiran ibu bapa.

Lantas, di situ juga ada kegusaran sekiranya ibu bapa bercakap tentang seksualiti, dikhuatiri anak mencuba-cuba untuk bereksperimen pula. Hal ini lebih menambahkan ketakutan ibu bapa untuk memulakan perbicaraan yang dianggap sangat tidak menyelesakan ini. Lebih menambah kebimbangan, anak-anak mereka belum lagi matang untuk menempuhi semua ini. Tidak hairanlah kebanyakan ibu bapa akan berlepas tangan dan menyerahkan penyampaian pendidikan seksualiti ini kepada pihak cikgu-cikgu di sekolah dan pengamal kesihatan. Kita perlu sedar bahawa guru-guru di sekolah dan pengamal kesihatan di klinik juga mungkin akan menghadapi kegusaran yang sama seperti kita. Oleh itu, kita perlu bersama-sama mengambil tanggungjawab untuk memastikan anak-anak kita ada kesedaran dan ilmu tentang pendidikan seksualiti.

Walaupun begitu, apabila pihak sekolah atau pengamal kesihatan cuba berusaha untuk menganjurkan program untuk membimbing ibu bapa untuk berbicara tentang seksualiti
kepada anak-anak, ramai pula yang bersembunyi dan mengelak. Berkemungkinan ibu bapa merasakan topik yang menjadi bahan bengkel tersebut terlalu sulit ataupun terlalu intim atau mungkin sahaja para ibu bapa menganggap tajuk ini tidak sepenting wacana akademik anak-anak mereka. Lebih malang, pihak sekolah yang cuba mendidik secara serius perihal seksualiti ini pula dikecam oleh sesetengah pihak, mengatakan bahawa pendidikan ini hanya selayaknya disampaikan oleh ibu bapa pelajar tersebut.

Apabila diserahkan semula kepada ibu bapa, tidak semua ibu bapa mampu berbicara tentang seksualiti kepada anak-anak remaja mereka, seperti contoh yang kita ungkapkan
sebentar tadi. Atas terlalu banyak sebab, perkara ini (menyerahkan pendidikan seksualiti kepada ibu bapa) akhirnya tidak berlaku ataupun berlaku namun terlalu lambat!
Menyerahkan pendidikan seksualiti ini bulat-bulan kepada pihak sekolah juga tidak betul. Ianya seolah-olah ibu bapa mahu lepas tangan untuk menjalankan tanggungjawab mendidik anak-anak yang bukan semata-mata melihat kepada aspek akademik dan fizikal sahaja, bahkan kesejahteraan emosi dan spiritual mereka. Melalui mengalaman penulis yang terlibat menganjurkan beberapa program melibatkan ibubapa mendidik dan memantau perkembangan seksualiti anak-anak, majoriti peserta memberikan komen  positif dan mengharapkan lebih banyak program dianjurkan supaya topik sebegitu dibincangkan dengan cara yang betul. Pada mulanya mereka mengakui mereka agak keberatan dan berfikiran negatif dengan topik program.

Pendidikan seksualiti di sekolah tidaklah dapat merungkai keseluruhan kekeliruan anak-anak yang baru meningkat remaja. Walau bagaimanapun, pendekatan ini amat penting untuk memberikan maklumat yang paling asas untuk anak-anak memahami apa itu kesihatan seksualiti. Sesetengah daripada mereka mungkin tidak dapat memahami
perbincangan dengan baik kerana mereka belum lagi mengalaminya (akil baligh dan permasalahan seksualiti) sendiri. Mungkin sahaja mereka terlalu malu untuk bertanyakan
soalan kepada guru di depan, bimbang menjadi bahan ketawa rakan sekelas. Sesetengah tajuk berkaitan seksualiti hanya sesuai dibincangkan secara rahsia antara guru dan pelajar, namun tidak semua pelajar mempunyai keberanian sedemikian.

Ketika anak-anak bertanyakan sesuatu tentang fitrah seksualiti yang sedang berkembang dalam dirinya, inilah sebenarnya saat terbaik untuk ibu bapa menggapai tangan anak
mereka, duduk bertentang mata dan menjelaskan perkara ini secara tenang, terhormat dan penuh rasa tanggung jawab. Mungkin sahaja situasi ini terjadi apabila anda sedang
beriadah dengannya di taman, atau sedang memasak di dapur, atau anda sedang memandu kereta setelah mengambilnya dari sekolah. Hakikatnya, perbincangan tentang
seksualiti kepada anak-anak bukanlah sesi syarahan biologi ataupun ceramah fiqh akil baligh semata-mata. Ini adalah fakta berkaitan perkembangan kehidupan yang perlu
diterangkan dengan cermat dan berterusan supaya mereka sentiasa merujuk ibu bapa sekiranya mempunyai kekeliruan.

Sehebat mana pun pendidikan seksualiti di sekolah, ianya tidak sesekali dapat menggantikan peranan ibu bapa dalam melengkapi pengetahuan tentang seksualiti anak-anak mereka. Oleh hal yang demikian, para ibu bapa perlu melengkapkan diri mereka terlebih dahulu dengan maklumat yang tepat. Ibu bapa boleh menghadiri seminar atau
bengkel keibubapaan berkaitan pendidikan seksualiti. Sekiranya tidak terdapat bengkel sedemikian, ibu bapa boleh mencadangkan dan bekerjasama dengan pihak sekolah melalui persatuan ibu bapa dan guru untuk menganjurkan bengkel sedemikian. Dengan adanya perbincangan dan bengkel ini, para ibu bapa dapat menyampaikan pendidikan seksualiti kepada anak mereka dengan penuh keyakinan.

Institusi agama, masjid dan surau juga boleh memainkan peranan dengan menjadi pendokong dan menghulurkan kerjasama dengan jawatankuasa penduduk untuk
menganjurkan bengkel pendidikan seksualiti. Kita yakin dengan kredibiliti yang ada pada badan agama akan mampu memandu masyarakat untuk memahami isu seksualiti yang semakin rencam ini dari sudut pandang agama. Begitu halnya juga dengan rakan-rakan agensi bukan kerajaan (NGO) yang ikhlas menggalas tugas untuk mendidik masyarakat. Mereka perlu diberikan lebih banyak ruang dan dana untuk menjalankan program-program kesedaran kesihatan seksualiti bersama komuniti.

Khidmat kepakaran daripada pakar kesihatan keluarga dan remaja amat diperlukan untuk membangunkan modul pendidikan seksualiti yang mudah, komprehensif dan bersandarkan kepada lunas-lunas agama dan budaya, mengkhusus kepada ibu bapa. Topik-topik yang lebih kontemporari seperti gender disforia, pedofilia dan agenda gerakan LGBTQ perlu dimasukkan dalam perbincangan untuk membangkitkan kesedaran ibu bapa tentang pentingnya pendidikan seksualiti ini.

Dengan adanya usaha bersepadu yang digalas dengan penuh rasa tanggungjawab daripada semua pihak ini, kita berharap dapat membina generasi muda yang bukan sahaja
sihat, bahkan mempunyai daya tahan diri untuk menahan pelbagai ancaman sosial hari ini.

Oleh: Mohammed Rasheedan Ellin
Ketua Sektor Kejururawatan, I-Medik

Dr. Siti Hazariah Abdul Hamid
Pensyarah Kejururawatan, UIAM