tampar pemain
Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh (kiri) bersama timbalannya, Adam Adli (dua kanan) sempat beramah mesra dengan atlet lempar cakera kebangsaan, Muhammad Irfan Shamsuddin (kanan) ketika mengadakan lawatan ke Institut Sukan Negara (ISN) di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 05 JANUARI 2023.

KUALA LUMPUR – Siasatan yang sedang dijalankan oleh Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kementerian Pendidikan terhadap insiden jurulatih pasukan bola tampar Melaka Bawah 14 Tahun (Wanita), Saiful Hadee Amar menampar seorang pemain bersifat lebih mendalam dan menyeluruh.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, tumpuan turut diberikan dari segi amalan dalam pasukan selama ini.

“Siasatan ini bukan sekadar untuk menentukan sama ada perbuatan menampar itu berlaku, itu kita semua nampak,” katanya kepada pemberita di Institut Sukan Negara (ISN), Bukit Jalil di sini, hari ini.

Terdahulu, beliau dan timbalannya, Adam Adli Abd. Halim meluangkan masa melawat ISN dan melihat kemudahan yang disediakan di fasiliti sukan berkenaan.

Hannah mengulas mengenai isu video tular yang memaparkan tindakan jurulatih berkenaan menampar dua pemain remaja perempuan selepas pertandingan Kejohanan Bola Tampar Remaja Bawah 14 Tahun di Kota Tinggi, Johor pada 16 Disember lalu.

Sebelum ini, beliau menyelar perbuatan berkenaan manakala Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek pula sedang mendapatkan butiran lanjut kerana insiden itu membabitkan pelajar bawah umur.

Hannah menambah, MSN akan memaklumkan kepadanya tentang penemuan dan hasil siasatan selepas proses itu selesai.

Berhubung tindakan yang bakal diambil terhadap jurulatih berkenaan, beliau mahu menunggu sehingga siasatan selesai terlebih dahulu.

Sementara itu, Hannah berkata, kementeriannya akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan untuk melihat bagaimana ISN boleh membantu untuk menawarkan kursus kejurulatihan bagi sektor pendidikan.

“Saya ingin berkongsi bahawa mereka ada mengeluarkan lesen kejurulatihan dan jurulatih melalui MSN perlu menghadiri kursus ini untuk mendapatkan lesen,” jelasnya.

Berhubung lawatannya hari ini, Hannah berkata, secara keseluruhan beliau berpuas hati dengan prestasi ISN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast