Saturday, December 14, 2024
Home Utama Zahid enggan komen ‘Langkah London’

Zahid enggan komen ‘Langkah London’

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berucap pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2023 di KKDW, Putrajaya. Foto HAZROL ZAINAL, 05 JANUARI 2023.

PUTRAJAYA – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi enggan mengulas mengenai dakwaan  ‘Langkah London’ dalam cubaan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan yang melibatkan beberapa pemimpin politik, termasuk dari UMNO.

Sebaliknya, Presiden UMNO itu berkata, ia hanyalah khabar angin semata-mata.

“Saya dengar khabar angin (sahaja), (saya) tak buat keputusan based on rumours (berdasarkan kepada khabar angin),” katanya dalam sidang media sempena Amanat Tahun Baharu 2023 di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas gambar yang tersebar memaparkan individu didakwa Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengadakan pertemuan tertutup di London.

Gambar tersebut telah menimbulkan spekulasi terdapat rancangan pihak tertentu untuk menjatuhkan Ahmad Zahid Hamidi.
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang turut tempias dalam spekulasi itu mendakwa beliau menjadi mangsa serangan fitnah oleh pihak yang “tidak mengenal dosa”.
Beliau yang juga bekas Perdana Menteri berkata, sejak berakhirnya Pilihan Raya Umum (PRU), beliau lebih banyak berdiam diri untuk mengelak daripada menjadi mangsa sebarang fitnah atau spekulasi.
Tegasnya, beliau tidak pergi atau bercuti ke London baru-baru ini sebaliknya menghabiskan masa bersama keluarganya di Timur Tengah.

Kumpulan itu dikatakan mengadakan pertemuan rahsia di London baru-baru ini dan dituduh sedang mengatur gerakan bagi membuat penjajaran semula politik negara. – MalayaiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast