Dua individu berjalan di sepanjang Cliff Drive untuk melihat Capitola Wharf yang rosak akibat ombak yang kuat di Capitola, California. foto Twitter

LOS ANGELES – Hujan lebat dan angin kencang melanda pantai utara California dan pihak meteorologi memberi amaran kepada orang ramai untuk bersiap sedia menghadapi banyak kejadian banjir dan tanah runtuh.

Ribut kuat yang dikenali sebagai siklon bom telah membunuh sekurang-kurangnya dua orang, termasuk seorang kanak-kanak apabila pokok kayu tumbang di rumahnya.

California sudah berada di bawah keadaan kecemasan sejak Rabu.

Lebih 160,000 rumah dan premis perniagaan telah mengalami gangguan bekalan elektrik

Angin kencang telah membawa hujan lebat ke kawasan rendah sebahagian besar negeri.

Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan berkata, sungai-sungai di California akan menerima lebihan air yang mengakibatkan banjir dan tanah runtuh.

Arahan dan nasihat pemindahan telah dilaksanakan di bahagian utara California, dan pihak berkuasa tempatan telah memberi amaran tentang ancaman terhadap nyawa dan harta benda, terutamanya di sekitar San Francisco dan Sacramento.

Lebih 100 penerbangan telah ditunda di Lapangan Terbang Antarabangsa San Francisco sejak Rabu. – Agensi